Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kashmir India tidak lagi satu negeri

    SRINAGAR, 31 OKT – Kawasan majoriti Islam India, Kashmir secara rasminya berpecah hari ini, hampir tiga bulan selepas kehilangan status autonominya dalam satu langkah yang mencetuskan keganasan dan meningkatkan ketegangan dengan saingan, Pakistan.

    Langkah itu diumumkan dalam awal Ogos lalu apabila India mengenakan kawalan dan mengerahkan beribu-ribu askar tambahan, menyaksikan Jammu dan Kashmir dilucutkan status negeri dan berpecah ke dalam dua pentadbiran wilayah baharu yang diperintah secara langsung oleh New Delhi.

    Berucap bersebelahan dengan arca besar wira kemerdekaan, Sardar Vallabhbhai Patel di negeri kelahirannya, Gujarat, Perdana Menteri Narendra Modi hari ini memuji ‘masa depan cerah’ bagi kawasan Himalaya yang sering ditumpahi darah itu.

    Pihak berkuasa di Kashmir dalam pada itu mengerahkan beribu-ribu angkatan keselamatan dan mengeluarkan amaran bagi serangan pemberontak dan protes anti-India.

    Polis dan separa tentera dalam ves kalis peluru, meronda jalan-jalan di kawasan yang padat penduduk di bandar utama Srinagar dan bandar-bandar lain di Lembah Kashmir yang sering menyaksikan ledakan keganasan itu.

    “Kami gembira Jammu dan Kashmir dan Ladakh melangkah ke masa depan baharu hari ini dan seterusnya. Ladakh dan Jammu dan Kashmir hari ini mengambil langkah bagi masa depan yang cerah,” kata Modi.

    Kashmir sudah pun dipecahkan antara India dan Pakistan semenjak 1947 dan mencetuskan dua perang serta banyak ledakan keganasan antara dua negara musuh bersenjatakan nuklear itu, dengan Februari lalu, mereka saling berbalas serangan udara. – AFP

    Seorang askar berkawal berhampiran Raj Bhavan, kediaman rasmi gabenor menjelang majlis angkat sumpah bagi gabenor pertama wilayah Jammu dan Kashmir di Srinagar selepas ia dilucutkan status autonomi dan kini rasmi sebagai dua pentadbiran kerajaan India. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda