SRINAGAR, 3 SEPT – Ribuan anggota pasukan keselamatan India mengekalkan kawalan ke atas Kashmir hari ini selepas kematian pemimpin politik pemisah yang mencetuskan pertempuran dengan penunjuk perasaan.
Kematian Syed Ali Geelani pada usia 92 tahun meningkatkan ketegangan di wilayah Himalaya yang dipertikaikan selepas pihak berkuasa menolak untuk mengadakan upacara pengebumian umum. Pihak berkuasa berkata, penutupan internet dan telefon bimbit yang diarahkan selepas kematian Geelani Rabu lalu akan dilanjutkan dan kawalan keselamatan ketat dijangka pada solat Jumaat di bandar utama Srinagar.
Banyak masjid di wilayah dengan majoriti penduduk Muslim mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan solat jenazah khas.
Ribuan polis dan tentera berkawal dan mengadakan rondaan di jalanan perintah berkurung dipatuhi berikutan pertempuran antara penduduk dan pasukan keselamatan di Srinagar semalam. Polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang melempar batu tetapi tiada kecederaan dilaporkan. Anak lelaki Geelani menuduh polis membawa jenazah bapanya untuk dikebumikan pada tengah malam, beberapa jam selepas kematiannya.
Keluarga itu berkata, tidak ada saudara-mara yang dibenarkan hadir pengebumian itu tetapi polis menolak tuduhan itu sebagai propaganda palsu.
Sebuah video yang dikongsi di media sosial menunjukkan polis bergelut dengan saudara-mara Geelani sebelum mengambil jenazahnya yang dibungkus dengan bendera Pakistan.
Geelani, yang menghabiskan lebih lima dekad terakhir di penjara atau di bawah tahanan rumah, menimbulkan kemarahan kerajaan India dengan pendirian pro-Pakistan dan tuntutan untuk memilih kerajaan sendiri. – AFP
