KUALA LUMPUR – Sempena kedatangan Syawal tahun ini, penyanyi yang semakin mendapat tempat di hati peminat, Sufian Suhaimi, menghadiahkan sebuah lagu Hari Raya berjudul Kasih Lebaran, pemuda berusia 25 tahun itu juga teruja apabila lagu berkenaan sudah mula diputarkan di radio tempatan.
“Alhamdulillah, lagu raya dendangan saya sudah mula diputarkan di corong radio. Harapan saya, ia mampu memikat hati peminat, seiringan dengan lagu raya klasik lain. Saya juga berharap kemunculan lagu terbabit dapat menghangatkan lagi suasana sambutan Hari Raya kita semua. Peminat turut memberikan komen positif terhadap lagu Kasih Lebaran, malah ada yang teruja untuk mendengarnya ketika dalam perjalanan pulang ke desa untuk berhari raya,” kata penyanyi dikenali dengan lagu Terakhir ini.
Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri, Sufian berkata, suasana agak berbeza kali ini seiring dengan pembabitannya dalam arena seni tahun lalu.
“Tahun ini, memang lain sikit rasanya. Dalam tempoh itu, saya bertemu dengan ramai kenalan baru, termasuklah Elfira (Loy) sendiri yang akrab dengan saya, selain rakan media. Saya akan pulang ke kampung halaman ibu di Mersing, Jumaat ini dan pada Hari Raya ketiga, kami sekeluarga pulang beraya di kampung bapa pula di Muar,” katanya.
Akui Sufian, beliau tidak berlebih-lebihan dalam persiapan Hari Raya. Cukup sepasang baju Melayu untuk dipakai pada Hari Raya pertama. selain tujuh pasang baju lain, katanya.

Artis berkaca mata ini juga terbabit dalam beberapa telefilem raya, seperti Riuh Raya Kak Mah dan Projek Kuih Raya Mak Leha.
“Saya hanya mencuba nasib sebagai pelakon, sekadar ingin merasai pengalaman beraksi di depan kamera,” katanya.
Mengulas hubungannya bersama Elfira, Suhaimi berkata mereka berada dalam fasa yang selesa kerana saling memahami.
“Saya sendiri banyak mendapat nasihat daripadanya yang lebih berpengalaman di arena seni. Kami juga masing-masing menyokong dari aspek emosi,” katanya.