Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kasih pada anak-anak yatim

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Seramai 60 orang anak yatim warga jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pendidikan telah menerima sumbangan untuk meringankan lagi bebanan mereka sempena bulan Ramadan ini dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

    Majlis Penyampaian Sumbangan Anak-anak Yatim Fastabiqul Khairat ke-4 berlangsung di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Bangunan Baharu, Kementerian Pendidikan di mana hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee.

    Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah, Awang Zainal Abidin bin Haji Kepli.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh pegawai dari Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Muhd Menghindrawardi bin Haji Naim.

    Projek Fastabiqul Khairat (berlumba-lumba membuat kebaikan) Kementerian Pendidikan tahun ini merupakan kali ke-4 dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum.

    Salah seorang anak yatim menerima sumbangan hasil Projek Fastabiqul Khairat Kementerian Pendidikan.
    Hajah Anis Faudzulani ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di majlis tersebut.

    Menurut kenyataan yang diberikan, pada 20 Mei yang lalu, seramai 54 orang pelajar di bawah Skim Miftaahun Najaah, Kementerian Pendidikan juga telah menerima sumbangan Fastabiqul Khairat manakala itu, pada 21 Mei pula, seramai 120 orang fakir miskin di tiga daerah iaitu 78 orang dari Mukim Telisai, Daerah Tutong, dua dari Mukim Kuala Beliat dan 40 dari Mukim Bokok, Daerah Temburong telah menerima sumbangan berkenaan.

    Pada tahun ini, pihak jabatan telah dapat mengumpulkan sebanyak 808 kotak makanan asasi dan 686 guni beras sumbangan Fastabiqul Khairat daripada jabatan-jabatan di Kementerian Pendidikan, sekolah-sekolah, institusi pengajian dan banyak lagi.

    Setiap kotak sumbangan mengandungi beberapa jenis makanan asasi dan disertai dengan satu guni beras yang bernilai lebih kurang $50.

    Objektif utama projek berkenaan adalah untuk memberikan bantuan dan sumbangan kepada anak-anak yatim di bawah Kementerian Pendidikan bersempena bulan Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Selain itu, projek juga bertujuan untuk melahirkan insan yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dalam membantu golongan yang memerlukan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda