Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kasih sayang kepada Syamsul tak pernah berubah – Yusof Haslam

    Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam, 70, menyifatkan tempoh lima tahun anaknya yang juga pengarah filem sensasi, Syamsul Yusof, 40, tidak pulang ke pangkuan keluarga adalah cerita lama.

    Yusof atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Md Haslam Khan berkata, dia juga tidak meletakkan harapan tinggi untuk Syamsul pulang, sebaliknya menyerahkan keputusan 100 peratus kepada sutradara filem Munafik itu.

    “Terserah kepada dia sajalah, cerita pun sudah lama, lima tahun. Saya nak terus cakap benda ini berkali-kali pun, pada saya tidak manis untuk ulang benda sama banyak kali.

    “Kita pun sebagai orang tua bukan pengemis kepada anak sendiri. Tetapi, kasih sayang kami sebagai ibu bapa kepadanya (Syamsul) tidak pernah berubah dan berbelah bahagi.

    “Pada saya, dia tahu di mana tempat dia dan dia juga tahu di mana hendak balik,” katanya ketika ditemui pada sidang media pertama Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), baru-baru ini.

    Menurut pengarah filem Maria Mariana itu, dia juga sudah buntu untuk menasihati Syamsul kerana berasakan anaknya itu adalah lelaki dewasa dan matang dalam membuat keputusan untuk kehidupannya.

    Difahamkan Yusof juga sebelum ini dalam temu bual bersama media pernah memaklumkan, dia sekeluarga sudah lama terputus hubungan dengan Syamsul, selain tidak mengetahui perkembangan terkini anaknya itu.

    Terdahulu, Yusof menjadi perhatian ramai selepas Syamsul memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira Kazar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 19 Ogos lalu.

    Harian Metro melaporkan Peguam Syarie yang mewakili Syamsul iaitu Azmi Rais sudah mengesahkan tindakan anak guamnya itu yang memfailkan cerai terhadap Ira di mahkamah. – Agensi

    Yusof tidak meletakkan harapan tinggi untuk Syamsul pulang, sebaliknya menyerahkan keputusan 100 peratus kepada anaknya itu. – Kosmo Digital
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda