Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kastam ASEAN perlu bekerjasama

    BUTTERWORTH, 19 Sept – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Direktorat Jenderal Bea dan Cukai Indonesia (DJBC) mahu pihak berkuasa kastam negara-negara ASEAN menjalinkan kerjasama secara rasmi bagi membanteras kegiatan penyeludupan terutama dadah.

    Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T.Subromaniam berkata cadangan itu dibangkitkan dalam mesyuarat bersama Ketua Pengarah DJBC, Heru Pambudi dan akan dibentangkan  pada Mesyuarat Penguatkuasaan Kastam dan Kumpulan Pematuhan Kerja (CECWG) ASEAN, di Kuala Lumpur, Oktober ini.

    Subromaniam yang  Pengerusi Mesyuarat Ketua-Ketua Pengarah Kastam ASEAN,  berkata usul itu kemudiannya akan dibentangkan  pada Mesyuarat Negara-Negara Kastam ASEAN (Asean DG) yang dijadualkan awal tahun depan.

    “Cadangan itu berikutan kejayaan-kejayaan yang diperoleh dalam mengekang penyeludupan haram hasil kerjasama antara kastam Malaysia dan Indonesia, jadi kami berpandangan ia (kerjasama) patut  dikembangkan ke seluruh rantau ASEAN kerana akan memberi banyak kebaikan kepada semua anggota.

    “Kami percaya jika kastam di semua negara ASEAN bekerjasama secara rasmi ia mampu membanteras aktiviti penyeludupan sama ada berkaitan narkotik, minuman keras atau lain-lain, selain memberi mesej jelas kepada pihak yang menjalankan penyeludupan bahawa pihak kastam sentiasa bekerja keras dalam mengekang kegiatan itu,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Operasi Patroli Terkoordinasi JKDM dan DJBC (Patkor Kastima) 24A/2018, di sini hari ini.

    Patkos Kastima merupakan operasi di antara JKDM dan DJBC sejak 1994 bagi memupuk jalinan semangat setiakawan dan permuafakatan dalam aktiviti pengawalan berkoordinasi dan perkongsian sumber untuk menjamin kedaulatan kedua-dua negara berkenaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda