Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kastam guna teknologi AI banteras penyeludupan hidupan liar

    SEMATAN, 16 OKT – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperkukuh sistem pemantauan menggunakan imbasan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) di lapangan terbang bagi membanteras penyeludupan hidupan liar.

    Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata trend semasa sindiket penyeludupan kini dikesan menggunakan kaedah menyembunyikan haiwan eksotik yang ditidurkan di dalam bagasi penumpang.

    “Pegawai kita di barisan hadapan yang mengendalikan mesin pengimbas telah dilengkapi dengan sistem pengesanan tingkah laku-neuro dan teknologi yang mampu mengesan ekspresi atau reaksi mencurigakan. Jika dikesan sesuatu mencurigakan, pemeriksaan fizikal ke atas bagasi boleh dilakukan segera.

    “Langkah itu selaras dengan objektif Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) untuk mewujudkan ekosistem penguatkuasaan berasaskan risikan yang lebih efisien dan strategik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat OBK di Sematan, hari ini.

    Anis Rizana berkata setakat ini OBK berjaya menangani aktiviti penyeludupan serta memaksa sindiket menukar laluan mereka, sekali gus mengurangkan penggunaan Malaysia sebagai hab utama penyeludupan.

    “OBK bukan sekadar operasi penguatkuasaan bersepadu merentas agensi, sebaliknya satu gerakan nasional yang menggabungkan kekuatan undang-undang dengan semangat konservasi yang utuh demi kepen-tingan negara,” katanya.

    Bagi tempoh April hingga September lepas, OBK merekodkan 444 tangkapan dengan nilai rampasan berjumlah RM338 juta. – Bernama

    Datuk Anis Rizana semasa mengongsikan mengenai sistem pemantauan menggunakan imbasan dengan teknologi AI di lapangan terbang, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda