Wednesday, September 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kastam Labuan rampas barangan seludup, kenderaan

    LABUAN, 12 SEPT – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan merampas barangan seludup dan kenderaan bernilai RM1,122,217.33 termasuk cukai yang belum dibayar dalam operasi besar-besaran bulan lepas.

    Operasi lima hari dari 26 hingga 30 Ogos itu menyaksikan rampasan kedua terbesar tahun ini selepas RM3.08 juta pada Jun lepas.

    Pengarah Kastam Labuan, Aspalila Awang Tuah berkata operasi itu, dikenali sebagai Op Radu, memfokus kepada usaha mengesan kenderaan tidak membayar duti yang melanggar syarat di bawah Butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.

    Beliau berkata tujuh kes direkodkan semasa operasi itu yang membawa kepada rampasan kenderaan dan cukai tidak dibayar berjumlah RM820,000.

    “Dedikasi dan usaha risikan pasukan kami membuahkan hasil… dalam tempoh lima hari sahaja, kami berjaya menangani pelbagai pelanggaran peraturan kastam,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Kiamsam hari ini. Aspalila berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

    Selain itu, beliau berkata pada 27 Ogos, pegawai penguat kuasa Kastam Labuan menyerbu sebuah kedai tidak bernombor di Kampung Rancha-Rancha berdasarkan laporan risikan, merampas rokok seludup dan mercun.

    “Walaupun tiada sesiapa berada di premis itu, barangan yang dipercayai diseludup dari tanah besar bernilai RM57,476 dengan anggaran duti belum dibayar sebanyak RM184,976,” katanya.

    Beliau berkata operasi seterusnya ialah di Kuala Penyu dan Beaufort berdasarkan maklumat awam yang  menghasilkan rampasan 47,832 batang rokok dan 156 kotak barangan termasuk campuran kopi segera dan kosmetik yang diklasifikasi di bawah ‘perdagangan tanpa permit.’

    Aspalila berkata barangan yang dirampas bernilai RM30,843.60 dengan duti belum dibayar berjumlah RM28,921.73. – Bernama

    Aspalila Awang Tuah (tengah) semasa sidang media pada 12 September di Pejabat Kastam Kiamsam. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda