Thursday, January 30, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kastam Malaysia rampas rokok seludup bernilai lebih RM1 juta

    KOTA BHARU, 22 JUN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 1,571,800 batang rokok bernilai RM138,398 dengan cukai sebanyak RM966,681.80 pada 15 dan 16 Jun lepas.

    Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata dalam dua serbuan itu juga pihaknya turut menahan tiga suspek serta enam kenderaan termasuk empat lori.

    Beliau berkata semasa serbuan pertama di Tumpat pada 8:30 pagi, 15 Jun, JKDM menahan seorang suspek dan merampas sebanyak 115 peti mengandungi 1,150,000 batang rokok seludup dan tiga lori.

    Wan Jamal Abdul Salam berkata dua suspek lagi ditahan pada serbuan kedua di sebuah rumah di Kota Bharu keesokannya dan merampas 421,800 batang rokok seludup di dalam  42 peti serta sebuah lori dan dua kenderaan pelbagai guna (MPV).

    “Siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan adalah dengan membawa masuk rokok-rokok tersebut dari negara jiran melalui jalan laut atau sungai untuk diedarkan ke negeri ini.

    “Rokok diklasifikasikan sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah Butiran 66, Jadual Ketiga/Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    Katanya, orang ramai digesa supaya membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti terbabit.

    “Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

    “JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya. – Bernama

    Gambar hiasan. – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda