PARIS, 17 MAC – Pihak berkuasa kastam Perancis telah merampas lebih 800 kilogram kokain dari sebuah trak di kawasan rehat lebuh raya di tenggara negara itu, menurut sumber yang dekat dengan kes itu kelmarin.
Rampasan dilakukan pada Sabtu berhampiran lebuh raya menuju ke Lyon. Polis menahan pemandu trak warga Poland yang kini disiasat.
Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai sekitar 24 juta euro (AS$26 juta) berdasarkan harga borong purata sebanyak 30,000 euro (lebih AS$32 ribu) sekilogram. Secara runcit, harga purata satu gram dijual sekitar 58 euro (AS$63).
Tahun lalu, kastam Perancis merampas sebanyak 53.5 tan kokain, lebih dua kali ganda berbanding jumlah yang dirampas pada tahun sebelumnya.
Penggunaan kokain di Perancis turut meningkat hampir dua kali ganda, menurut satu kajian. – AFP
