Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Hasil gerakan operasi yang dijalankan kelmarin di kawasan Kampung Kiulap telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun atas kesalahan memiliki barang-barang kesalahan kastam.
Hasil pemeriksaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguatkuasa Undang-undang menemukan sebanyak 1,778 unit vape, satu peranti vape, lapan botol jus vape, 11 vape refill pelbagai jenis, 21 paket rokok pelbagai jenis, serta wang tunai sebanyak $15,605.50 dan mata wang asing yang dianggarkan berjumlah $6,067. Wang berkenaan dipercayai hasil daripada penjualan barang-barang kesalahan kastam.
Kesemua barang-barang dan wang terbabit telah dirampas dan individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang untuk siasatan lanjut.
JKED, dalam kenyataan akhbar yang dikongsikan di sini, menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi perundangan negara ini dan menghindari kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan atau sekatan tanpa kebenaran yang sah.
Memiliki barang-barang tegahan kastam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 140, Perintah Kastam 2006 atau Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.
JKED mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.
Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsikan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau aktiviti yang menyalahi perundangan kastam dengan meng-hubungi JKED di talian utama 8714422 dan 8721422 atau pejabat kastam yang berdekatan.
Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.



