Thursday, July 4, 2024
22.7 C
Brunei

    -

    Kastam rampas 30kg dadah bernilai RM3.2 juta di KLIA

    SEPANG, 1 JULAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas kira-kira 30 kilogram (kg) dadah bernilai RM3.2 juta dalam dua operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA Terminal 2) dan zon bebas kargo KLIA di sini baru-baru ini.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata dalam operasi pada 16 Jun lepas, seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun ditahan ketika cuba mendaftar masuk sebuah kotak makanan miliknya di kaunter kira-kira 7:30 malam.

    “Hasil pemeriksaan kotak makanan itu menjumpai 15 mampatan kristal putih disyaki dadah jenis ketamin yang telah diisi di dalam bungkusan teh.

    “Bungkusan itu kemudian diletakkan ke dalam kotak makanan berlabelkan jenama mi segera dengan anggaran berat kasar 15.181kg. Mampatan yang disyaki ketamin terbabit dianggarkan bernilai RM760,000,” katanya dalam sidang media, hari ini.

    Beliau berkata modus operandi memasukkan dadah di dalam bungkusan teh serta diletakkan di dalam kotak makanan digunakan sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail (dua, kanan) menunjukkan dadah yang disorokkan dalam bungkusan teh ketika sidang media, kelmarin. – Bernama

    “Sindiket juga menggunakan kaedah self check in bagasi untuk mengedar dadah ke lokasi lain,” katanya dan menambah lelaki berkenaan dalam perjalanan ke Miri, Sarawak.

    Dalam operasi pada 19 Jun pula, Norlela berkata pihaknya menemukan satu kotak bungkusan kurier yang diikrar di kawasan Zon Bebas Kargo, KLIA Sepang sebagai Njoy Caramel Cubes.

    “Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan terhadap kotak terbabit, pasukan telah menjumpai 15 termos berlabel Lavender 1000mL mengandungi pil-pil disyaki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

    “Anggaran kasar dadah ialah 14.663 kg. MDMA yang disita dianggarkan bernilai harga pasaran RM2.5 juta,” katanya.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati kotak bungkusan mengandungi dadah itu adalah dari negara Eropah dan dialamatkan ke sebuah syarikat. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Banjir landa China, ribuan dipindah

    BEIJING, 3 JULAI – Hampir suku juta penduduk terpaksa dipindahkan di timur China ketika hujan lebat melanda sebahagian besar wilayah negara, menyebabkan Sungai Yangtze...