Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kastam rampas dadah terbesar bernilai AS$10 juta

    HONG KONG, 17 DIS – Kastam Hong Kong mengumumkan rampasan dadah terbesarnya jenis methamphetamine dalam masa sedekad hari ini, 110kg ais bernilai kira-kira HK$77 juta (AS$10 juta) yang berasal dari Mexico.

    Rampasan itu menunjukkan kehadiran dadah meth buatan kartel Mexico di Asia, sebuah rantau tempat geng ‘Segi tiga Emas’ secara tradisinya mendominasi pengeluaran dadah tersebut.

    Para pegawai kastam berkata barang tegahan itu ditemui dalam penghantaran kargo udara yang berasal dari Mexico yang datang menerusi Alaska.

    Berikutan maklumat daripada penguat kuasa undang-undang luar negara, mereka mengimbas penghantaran itu yang disenaraikan mengandungi labuci plastik murah dari Mexico, sesuatu yang para pegawai katakan boleh dikenal pasti kerana manik seumpamanya mudah didapati dengan murah di negara itu.

    Di dalamnya mereka mendapati 120 kotak plastik diisi dengan dadah methamphetamine bergred tinggi dan beberapa paket pelembut fabrik yang digunakan untuk menyamarkan baunya.

    Bungkusan kristal methamphetamine (depan) dipamerkan semasa sidang media di Bangunan Ibu Pejabat Kastam di Hong Kong pada 17 Disember. – AFP

    “Ini adalah kes penyeludupan meth terbesar yang Kastam Hong Kong kesan sejak 10 tahun lalu,” kata Komander Philip Chan daripada biro dadah jabatan kastam memberitahu para wartawan.

    Chan berkata beberapa ais tersebut mungkin digunakan di negara tersebut atau majoritinya untuk dihantar ke destinasi seberang laut.

    Kebanyakan meth Asia datangnya dari kawasan sempadan ‘Segi tiga Emas’ antara Laos, Myanmar, Thailand dan barat daya China yang kini menghasilkan kuantiti dadah sintetik ke pasaran global.

    Kajian dari Pejabat PBB berhubung dadah dan jenayah berkata kumpulan jenayah Asia Tenggara menghasilkan keuntungan lebih AS$60 bilion setahun.

    Salah satu kartel terkenal adalah ‘Sam Gor’, yang para pegawai sindiket jenayah katakan diketuai oleh warga Kanada asal China dinamakan Tse Chi Lop. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda