SIBU, 19 FEB – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu merampas dua juta rokok putih yang dipercayai diseludup selepas menyerbu sebuah premis di Lorong Tunku Abdul Rahman, di sini bulan lepas.
Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya berkata rokok putih bernilai kira-kira RM180,000 dengan nilai cukai dianggarkan RM1.338 juta itu dirampas dalam operasi pada 25 Januari lepas oleh pasukan penguat kuasa JKDM Sibu sekitar 10:50 pagi.
“Premis tersebut dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan, sebelum rokok-rokok itu diedarkan kepada pelanggan di sekitar Sibu. Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. – Bernama
