Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kastam rampas lebih 266,000 anak udang karang

    BATAM, 14 OKT – Pejabat Kastam Batam menggagalkan penyeludupan 266,600 anak udang karang di perairan Bintan, Kepulauan Riau, dengan nilai keseluruhan 26.9 bilion rupiah (AS$1.6 juta), lapor Agensi Berita Indonesia (Antara).  

    Dalam satu kenyataan pada Ahad, ketua pejabat itu, Zaky Firmansyah berkata operasi itu bermula dengan laporan berhubung sebuah kapal berkelajuan tinggi yang disyaki menyeludup anak udang karang ke Malaysia pada Sabtu.

    “Berdasarkan maklumat, satu pasukan memantau kapal itu,” tambahnya.

    Beliau menyatakan pasukan itu berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan dan merampas kapal yang membawa 266,600 anak udang karang dalam 53 kotak.

    Menurut Firmansyah, penyeludup beralih daripada operasi waktu malam kepada siang hari.

    “Pasukan kami telah menjangkakan perkara ini dengan sentiasa menjalankan rondaan rutin dan langkah pengawasan lain,” katanya.

    Penyeludupan anak udang karang dilarang di bawah undang-undang, membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara dan denda lima bilion rupiah (AS$309,000).

    Anak udang karang yang dirampas kemudiannya dilepaskan semula ke perairan Kepulauan Riau, lapor Firmansyah.

    Pada 3 September, Kastam melepaskan 275,000 ekor anak udang karang ke perairan bandar Batam. Suspek ditangkap semasa operasi bersama dengan Pengawal Pantai di perairan berhampiran Pulau Topang.

    Seminggu sebelum itu, Kastam turut menggagalkan penyeludupan 177,300 anak udang karang bernilai 17.7 bilion rupiah (AS$1 juta) di perairan Pulau Pengelap dan Pulau Abang. – Bernama

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda