KOTA KINABALU, 17 SEPT – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan tujuh individu dan merampas 555.60 liter minuman keras, 146,650 batang rokok pelbagai jenis serta 1,600 gram tembakau yang semuanya bernilai RM1.04 juta termasuk cukai dalam beberapa serbuan baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang, berkata tujuh individu melibatkan warga tempatan berusia 19 hingga 53 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di kawasan pantai barat Sabah serta di kawasan pantai timur iaitu Sandakan, Tawau dan Semporna sejak 28 Ogos hingga 9 September lepas.
“Semua barang rampasan berkenaan dianggarkan bernilai RM183,086, manakala jumlah duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM861,836,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Sabah, hari ini. – Bernama