KUCHING, 16 APRIL – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menumpaskan aktiviti pengedaran dadah yang menggunakan perkhidmatan kurier dan merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM1.2 juta pada 14 Mac lepas.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata sepasukan pegawai kastam daripada Cawangan Narkotik membuat rampasan satu kotak kiriman di sebuah syarikat perkhidmtan kurier di Eastwood Valley Industrial Park, Miri pada kira-kira jam 2 petang.
“Pemeriksaan rapi dilakukan ke atas kotak bungkusan itu telah menemukan dadah jenis ekstasi seberat 3.6 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM603,371 dan ketamin seberat 1.01 kg bernilai RM50,600,” katanya dalam kenyataan di Kuching, Sarawak hari ini.
Norizan berkata pihak kastam sekali lagi menjumpai satu kotak kiriman mengandungi dua bungkusan ekstasi yang disembunyikan bersama produk makanan seberat 3.45 kg dengan nilai anggaran RM577,653 menerusi serbuan berasingan di syarikat terbabit pada hari sama.
Beliau berkata modus operandi sindiket ialah menggunakan perkhidmatan kurier udara dari Semenanjung ke Sarawak dengan menghantar bungkusan ke alamat tidak berpenghuni. – Bernama
