KUCHING, 8 APRIL – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas rokok tanpa cukai dan minuman keras disyaki seludup dianggar bernilai lebih RM1.62 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, pada 25 Februari lepas.
Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya berkata dalam serbuan pertama pada 9 pagi di sebuah premis di Batu 9, Jalan Penrissen, pihaknya menemukan 120,740 batang rokok serta 6,826.27 liter (L) minuman keras di premis berkenaan di samping turut menahan seorang lelaki tempatan.
Beliau berkata dalam serbuan kedua pada 9:45 pagi di Batu Kawa New Township pula, kastam menemukan 2,776.25L minuman keras manakala 331,520 batang rokok
putih dan kretek pelbagai jenama serta 13,681.92L minuman keras dirampas dalam serbuan ketiga di sebuah premis di Taman Malihan.
“Seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pekerja di premis berkenaan juga ditahan dan kini dalam jaminan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam hari ini.
Norizan berkata ketiga-tiga kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya. – Bernama
