KUCHING, 22 APRIL – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menumpaskan aktiviti penjualan rokok dan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai lebih setengah juta dalam operasi di Miri, Rabu lepas.
Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya berkata operasi pada 8:30 pagi itu melibatkan serbuan oleh sepasukan pegawai Unit Operasi Darat, terhadap sebuah kontena berkunci di kawasan Eastwood Valley Industrial Estate.
“Hasil pemeriksaan menemukan 700,000 batang rokok putih pelbagai jenama tidak mempunyai setem cukai dan 1,536 liter minuman keras disyaki barang larangan dalam kontena itu.
“Anggaran nilai sitaan ialah RM74,372, manakala jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM492,319.20, menjadikan jumlah keseluruhan nilai sitaan termasuk duti serta cukai dianggarkan RM566,691.20,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norizan berkata modus operasi sindiket, menggunakan kontena sebagai tempat penyimpanan rokok dan minuman keras bagi mengaburi pihak berkuasa.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama
