Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kastam sita 147 kenderaan mikromobiliti bernilai lebih RM700,000

    KUALA TERENGGANU, 26 MEI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu menyita 147 kenderaan mikromobiliti dianggar bernilai RM708,082.60 termasuk cukai dalam serbuan di dua premis di sini Khamis lepas.

    Pengarahnya Mohd Nadzri Ariffin berkata serbuan dijalankan selepas premis terbabit disyaki memiliki barang larangan import iaitu kenderaan mikromobiliti seperti moped bike, basikal kuasa elektrik dan peranti mobiliti peribadi (PMD) kuasa elektrik.

    “Semakan awal terhadap dokumen pembelian dan pengimportan yang dikemukakan ketika serbuan mendapati terdapat syak yang munasabah bahawa semua kenderaan terbabit telah diseludup masuk ke dalam negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Beliau berkata hasil serbuan di lokasi pertama, pihaknya menyita 130 kenderaan mikromobiliti dengan nilai pasaran RM346,200 dan cukai dianggar bernilai RM252,726 manakala 17 lagi disita di lokasi kedua membabitkan nilai RM64,088 dan cukai berjumlah RM45,068.

    Menurut Mohd Nadzri pihak terlibat disyaki membawa masuk kenderaan itu secara komponen terlerai dari China melalui Pelabuhan Klang sebelum dipasang di sebuah gudang di pantai barat untuk edaran ke seluruh negara.

    Proses pengimportan, katanya dipercayai menggunakan ikrar palsu dengan mengemukakan kelulusan permit import terhadap penghantaran sebelum ini yang pernah dibawa masuk pada 2021 bagi meyakinkan pembeli akhir.

    “Siasatan mendapati bukan dua premis ini sahaja yang menjadi mangsa, premis di luar pun sama. Dia (pengimport) kena dapatkan permit sebab di bawah Item No.7, Bahagian II, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 perlu dapatkan kelulusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

    Beliau berkata kedua-dua pemilik premis warga tempatan berusia 39 dan 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan telah dibebaskan dengan jaminan JKDM. – Bernama

    JKDM Terengganu Mohd Nadzri Ariffin (kiri) meninjau pelbagai jenis kenderaan mikromobiliti yang disita dalam operasi pada Khamis lepas. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...