Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Pasukan Kasuka Ar Rawda tidak menghadapi sebarang masalah untuk menundukkan Arbisyam FC dengan jaringan besar 13-0 dalam sai-ngan Kejohanan Liga Futsal Elit Brunei (BEFL) 2024-2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam kelmarin.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan pasukan bimbingan Wahyu Triyanto terus unggul di puncak carta BEFL dengan mengumpul 33 mata maksimum daripada 11 perlawanan tanpa sebarang kekalahan.
Ketika ditemui selepas perlawanan, Wahyu menyatakan penghargaan terhadap semangat juang pasukan lawan yang dibarisi ramai pemain muda.
“Kami menghormati Arbisyam FC yang menurunkan ramai pemain muda dan mereka menunjukkan potensi besar. Namun, yang lebih membanggakan adalah kesungguhan pemain kami dalam memastikan rekod tanpa kalah kekal setakat ini,” ujarnya.
Bekas bintang futsal kebangsaan Indonesia itu turut mengingatkan anak buahnya agar mengekalkan prestasi dan konsistensi dalam setiap perlawanan yang mendatang.

“Perjalanan masih jauh. Sudah pasti setiap pasukan akan memberi perhatian terhadap kami selepas ini. Kami akan terus berusaha untuk mengekalkan kekuatan pasukan dalam edisi kali ini,” tambah beliau.
Dalam perlawanan tersebut, pemain import dari Iran, Mohammad Reza Rahmannia membuka tirai jaringan seawal minit pertama dengan dua gol pantas, sebelum kapten pasukan, Mohammad Nor Azizam Roslan menambah dua lagi jaringan pada minit ke-3 dan ke-6.
Kasuka Ar Rawda terus menambah tekanan apabila Awangku Muhammad Naqib bin Pengiran Timbang mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-4, disusuli hatrik daripada Reza Tolouei pada minit ke-5, ke-26 dan ke-39.
Mohd Faiz Hasnan pula menambah jaringan pada minit ke-17, manakala Mohd Abi Syarilizam Sabtu mencuri tumpuan dengan jaringan hatrik pada minit ke-30, ke-31 dan ke-33.
Mohd Amirul Syami Adillah Mohd Helmi melengkapkan malam gemilang Kasuka Ar Rawda dengan jaringan terakhir pasukan pada minit ke-37.