Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Pasukan Kasuka Ar Rawda berjaya menjulang Piala Liga Futsal Elit Brunei (BEFL) 2024/2025 sekalipun tewas 3-5 kepada pencabar terdekat, pasukan Almerez Hitune FC pada perlawanan terakhir liga berkenaan yang berlangsung di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.
Walaupun hampa di penghujung perlawanan, pasukan didikan jurulatih Wahyu Triyanto itu tetap berpesta apabila kekal berada di puncak liga dengan 37 mata hasil kemenangan 12 kali dan sekali seri untuk membawa pulang piala, cek berupa wang tunai dan pingat selaku pasukan juara.
Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Pengiran Haji Kamarunsalehin bin Pengiran Haji Kamis menyampaikan anugerah kepada pasukan juara pada Majlis Penutup Kejohanan BEFL edisi 2024/2025.
Terdahulu, Pengerusi Liga Bola Sepak Yakin (YFL), Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang menyampaikan piala naib juara kepada Almerez Hitune FC.
Pasukan Shah United yang berada di tangga ketiga telah menerima hadiah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Hitune, Dayang Hernah Nur Imani binti Muhd Jeffrey.
Majlis penutup kejohanan juga menyaksikan kemeriahan berterusan bagi penyokong Kasuka Ar Rawda apabila dua orang pemainnya, iaitu Nur Syafiq Aiman Salmizan menerima Anugerah Pemain Muda Terbaik dan Abdul Azim Abdul Rahman dipilih selaku penerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik.
Sementara itu, pemain bintang Almerez Hitune FC, Abolfazl Minouel Hussein menerima Anugerah Pemain Terbaik, manakala pemain lincah kelahiran Thailand yang menyarung jersi pasukan Shah United, Ridwan Awabuesa yang berjaya menjaringkan 34 gol pula menjulang piala Penjaring Terbaik Liga.
Pasukan Arbisyam FC yang berada di kelompok bawah BEFL menerima Anugerah Fair Play.
Pemangku Presiden FABD mengisytiharkan penutupan Kejohanan BEFL edisi 2024/25 telah dianjurkan dengan jayanya oleh YFL dan disokong oleh FABD.