Saturday, January 25, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kasuka Ar Rawda rampas puncak liga

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Pasukan Kasuka Ar Rawda kembali merampas kedudukan puncak Liga Futsal Elit Brunei (BEFL) 2024/2025 selepas menerima saingan hebat daripada pasukan Shah United dalam perlawanan penuh dramatik di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

    Pemain import dari Iran, Mohammad Reza Rahmania menjadi tonggak berkesan buat Kasuka Ar Rawda apabila berjaya menembusi gawang Shah United menerusi ledakan kencang pada minit pertama.

    Shah United segera menyamakan kedudukan pada minit ke-13 menerusi pemain import dari Thailand, Faisol Muso, namun selang empat minit kemudian, Mohammad Reza Rahmania menambah jaringan kedua bagi Kasuka Ar Rawda manakala Haji Mohammad Fardi Farhan melebarkan jaringan untuk kedudukan 3-1.

    Pertemuan buku dengan ruas itu kembali menggegarkan pentas perlawanan dengan Mohammad Reza memperoleh sentuhan gol pada minit ke- 22.

    Perlawanan semakin sengit dengan kebangkitan pemain-pemain Shah United yang berselang minit menemui sentuhan jaringan bermula dengan rembatan Ridwan Awaebuesa pada minit ke-25; dua gol daripada Muhammad Fithrahtul Rahman Ratano pada minit ke-26 dan 27; dan satu gol melalui jaringan Pengiran Muhd Jamil bin Pengiran Haji Jaludin juga pada minit ke-27 menjadikan kedudukan 5-4.

    Sepakan yang dilakukan oleh Mohammad Nor Azizam bin Roslan dari Kasuka Ar Rawda pada minit ke-27 berjaya menyamakan kedudukan 5-5, namun kedudukan berubah menjadi 6-5 pada minit ke-30 melalui jaringan Ridwan Awaebuesa.

    Aksi berbalas jaringan terus menggamatkan perlawanan menerusi jaringan Mohammad Reza Rahmania, Mohd Abi Syarilizam bin Sabtu dan Abdul Azim bin Boll Hassan pada minit ke-31, 34 dan 35, menyaksikan prestasi terbaik Kasuka Ar Rawda yang memuktamadkan kedudukan 8-7 sekali gus mengesahkan kejayaan mereka merampas kedudukan teratas liga.

    Pemain daripada Kasuka Ar Rawda dan Shah United bersaing untuk mendapatkan bola pada perlawanan tersebut. – GAMBAR SERAHAN BEFL
    GAMBAR SERAHAN BEFL

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda