Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Kasuka Ar-Rawda kelmarin mengukuhkan lagi kedudukan di puncak Liga Futsal Brunei (BFL) 2023 selepas menewaskan DDT FT dengan jaringan 11-3 pada perlawanan di Dewan Serba guna Bolkiah Garison, Kementerian Pertahanan.
Kemenangan besar pasukan didikan Wahyu Triyanto itu sekali gus meneruskan rekod tanpa kalah Kasuka Ar-Rawda yang berjaya mengutip 30 mata maksimum hasil daripada 10 perlawanan yang telah memisahkan kedudukan pasukan di tangga kedua liga, MS ABDB dengan kelebihan jumlah jaringan.
Gol pembukaan perlawanan hadir seawal minit ke-4 menerusi sentuhan pemain DDT FT, Muhd Zulhamzi Haji Awang.
Kasuka Ar-Rawda yang terkejut telah menyamakan kedudukan pada minit ke-7 melalui jaringan pemain import dari Iran, Abol Fazl Minouei. Selang dua minit kemudian, Mohd Faiz Hasnan menambah jaringan untuk membawa pasukannya mendahului permainan.
Bagai melepaskan geram, Abol Fazl Minouei sekali lagi meledakkan rembatan yang menerjah gawang pihak lawan pada minit ke-11, sebelum Awangku Muhd Nazrul Mubin bin Pengiran Duraman dan Muhd Nurbazli Awang Besar saling berganti menambah derita DDT FT.
Tanpa memberi peluang kepada DDT FT untuk merapatkan kedudukan, ketua pasukan Kasuka Ar-Rawda, Muhd Norazizam Roslan kemudian memperoleh jaringan pada minit ke-21, diikuti dengan Abol Fazl Minouei (minit ke-24) dan Awangku Muhd Naqib Pengiran Timbang (minit ke-27).
Abol Fazl Minouei menambah koleksi peribadinya pada minit ke-34, diikuti oleh jaringan Muhd Nurbazli dan Awangku Muhd Nazrul Mubin yang melengkapkan 11 gol Kasuka Ar-Rawda.
Gol kedua dan ketiga DDT FT yang disumbangkan oleh Muhd Noraliff Muhd Firdaus dan Muhd Khairul Anuar Zamain ternyata tidak cukup untuk menghalang serangan bertali arus Kasuka Ar-Rawda yang menamatkan permainan dengan kedudukan 11-3.
“Rentak pemainan Kasuka Ar-Rawda dilihat konsisten sekalipun kealpaan pemain pertahanan di awal perlawanan telah berjaya dimanfaatkan oleh pasukan lawan.
“Tahap kombinasi dan persefahaman telah meningkat pada setiap perlawanan,” jelas penolong jurulatih pasukan Kasuka Ar-Rawda, Awang Mardi Bujang yang juga mengakui bahawa sebilangan pemainnya kurang menunjukkan prestasi sebenar.