Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kasuka FC awal sahkan juara liga B-16

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Meskipun berbaki satu perlawanan, pasukan Kasuka  FC Bawah 16 lebih awal mengesahkan kejuaraan Liga Bola Sepak Remaja HiTune Sport School 2024 selepas berjaya mengalahkan pasukan Dash FC 6-1 di Kompleks Sukan Berakas kelmarin.

    Kejayaan bergaya pasukan muda dari Kelab Kasuka FC itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan sebanyak 6 perlawanan untuk mengutip 18 mata sekali gus berada di puncak liga kejuaraan.

    Kasuka FC tidak mahu menunggu lama untuk mempamerkan kemantapan dengan ledakan kencang  Muhd Adyka Farel yang menggegarkan gawang Dash FA di minit ke-3 sebelum jaringan oleh Muhd Faaiz Zulkeflee  di minit ke-20 menjadikan kedudukan 2-0.

    Sekalipun ketinggalan jaringan, pasukan Dash FA memberi saingan dengan jaringan Muhd. Adi Idham merapatkan kedudukan 2-1.

    Tetapi kegembiraan penyokong Dash FA tidak berpanjangan apabila  Muhd Faaiz Zulkeflee  sekali lagi bertindak cemerlang di minit ke- 29 ditambah dengan sentuhan menarik Al Nazirul Mubin Adnan di minit ke- 33 berjaya  menjauhkan jarak kedudukan.

    Sebelum berhenti rehat, Md Amirun Firdaus sempat menambah jaringan di minit ke-40 dan dua minit sebelum tamat perlawanan,  Md Eddy Alif Sahuali melengkapkan misi bergaya pasukan Kasuka FC U16 dengan kedudukan 6-1.

    Sementara pasukan Sport School U16 yang turut berbaki satu perlawanan tidak berdaya untuk mengatasi kutipan mata lawannya apabila anak buah Pengiran Serfuddin Pengiran Haji Md. Salleh hanya mengutip 13 mata keseluruhan.

    Kejohanan yang dianjurkan oleh ‘YAKIN Football League’ berjaya menampilkan bakat dan potensi pemain bola sepak remaja tanah air itu akan menutup tirai kejohanan pada minggu ini.

    Aksi pemain dua pasukan merebut bola semasa kejohanan bola sepak berkenaan. – GAMBAR SERAHAN YAKIN FOOTBALL LEAGUE

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda