Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Pasukan Kasuka FC Bawah 16 Tahun (B16) berjaya mengekalkan kedudukan teratas Liga Bola Sepak Remaja HiTune Sport School 2024 selepas menewaskan pasukan BSRC B16 4-2 di Kompleks Sukan Berakas, hari ini.
Kemenangan kali kelima itu menyaksikan skuad muda kelab Kasuka itu mengekalkan rekod tanpa kalah untuk mengutip 15 mata memberikan jurang kepada pasukan Sports School B16 yang memperolehi 13 mata bagi tempat kedua liga.
Eddy Alif lebih awal mencipta jaringan sulung untuk pasukan Kasuka sekalipun terpaksa menunggu sehingga minit ke-33. Mohd Hadiman kemudiannya menambah jaringan pada minit ke-36 sebelum Fadhli Dzil Ikram melunturkan semangat saingan pasukan lawan seminit sebelum wisel pusingan pertama ditiup pengadil untuk kedudukan 3-0.
Pertemuan semakin menarik dibabak kedua ketika pasukan BSRC B16 merubah rentak perlawanan tetapi Fadhli Dzil Ikram berjaya menambah jaringan pasukan Kasuka B16 pada minit ke-44 dan selang enam minit selepas itu giliran Amirun Firdaus menjadi penjaring pada minit ke-50.
Sekalipun ketinggalan jaringan, skuad muda BSRC B16 berjaya memperolehi jaringan menerusi Farish Ar Rayyan pada minit ke-59 dan Danish Aqasya Khoo memperolehi jaringan sagu hati pada minit akhir perlawanan untuk kedudukan 4-2.
Sementara itu, pasukan Sport School B16 pula berpesta gol selepas membelasah pasukan Arabic School B16 9-0 di Padang Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Berakas.
Cabaran Liga Bola Sepak Remaja HiTune Sport School 2024 yang dikendalikan oleh Liga Bola Sepak YAKIN itu berjaya menampilkan lapan buah pasukan muda yang berpotensi sebagai landasan untuk mengilap kemahiran pemain-pemain di peringkat remaja.