Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kasuka FC sedia berdepan Sports School FC

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Pasukan Kasuka FC kini giat memperkemaskan persiapan bagi menghadapi cabaran pasukan Sports School FC pada Kejohanan Jemputan Piala Lela Cheteria dengan menyenaraikan empat orang pemain baharu bagi memperkukuh jentera pasukan.

    Pengurus Pembangunan Remaja Kasuka FC, Haji Mohd Mariswanddy bin Haji Omar berharap kemasukan pemain-pemain tersebut akan membantu memberikan impak positif dalam usaha memperkemas strategi dan corak permainan pasukan menjelang perlawanan menentang Sports School FC di Padang dan Belapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, esok.

    Empat pemain yang disenaraikan ialah Awangku Mohd Al-Amin bin Pengiran Haji Mohd Khairol Norlizam, Awang Mohd Iqbal Qusyari bin Mohd Sumadi, Awangku Muhd Danish Mubassyir bin Pengiran Safiyullah dan Ahmad Syakir Aqashya Morniwaswandi.

    Selain itu, kehadiran pemain import dari Iran, Mohd Reza Rahmania Hassan turut dijangka melengkapkan kekuatan keseluruhan pasukan berkenaan.

    Setakat ini, Kasuka FC berada di tangga keempat carta Liga Piala Lela Cheteria selepas mencatat satu kemenangan dan dua keputusan seri, di belakang pasukan Miri FA, Limbang FA dan Gergasi FC yang kini menerajui tiga kedudukan teratas liga.

    Gambar ramai pemain pasukan Kasuka FC. – GAMBAR SERAHAN KASUKA FC

    Dalam perkembangan berkaitan, pasukan Miri FA terus menunjukkan prestasi konsisten dan kini gah di persada liga selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan.

    “Sepanjang tempoh rehat, kami memanfaatkan masa untuk memperbaiki rentak permainan serta mengenal pasti dan memperbaiki segala kelemahan pada segenap posisi,” ujar Ketua Jurulatih Miri FA, Ismail Lumut.

    Beliau turut menekankan kepentingan peningkatan tahap kecergasan fizikal pemain dan berharap para pemain dapat memberikan aksi lebih mantap dalam pertemuan menentang PKT FT di Kompleks Sukan Arena, Seria pada hujung minggu ini.

    Sementara itu, Presiden Limbang FA, Frederick Lalung Ngilo, yang juga pengurus pasukan, menyatakan keyakinan terhadap perkembangan positif para pemainnya yang telah mengambil inisiatif menyertai beberapa kejohanan bola sepak domestik sempena sambutan Hari Gawai baru-baru ini.

    “Saya percaya para pemain telah memperoleh manfaat daripada peluang itu untuk meningkatkan tahap kecergasan serta kesepaduan pasukan bagi memperkuatkan lagi prestasi pasukan Limbang FA,” katanya menjelang perlawanan menentang pasukan Shada FA yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Tutong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda