Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kasuka FC, Sport School teruskan kemenangan liga B-16

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Pasukan Kasuka FC (B16) berjaya mengekalkan kedudukan teratas Liga Bola Sepak Remaja HiTune Sport School 2024 selepas mengalahkan pasukan BSRC (B16) dengan kedudukan 4-2 di Kompleks Sukan Berakas kelmarin.

    Kemenangan kali kelima itu telah menyaksikan skuad muda kelab Kasuka FC itu mengekalkan rekod tanpa kalah untuk mengutip 15 mata memisahkan pasukan Sports School B16 yang memperoleh 13 mata di tempat ke-2 liga.

    Dalam perlawanan itu, Eddy Alif lebih awal mencipta jaringan sulung buat pasukan Kasuka sekalipun terpaksa menunggu sehingga minit ke-33, dan Md. Hadiman menambah jaringan di minit ke-36 sebelum Fadhli Dzil Ikram melesukan saingan pasukan lawan seminit sebelum wisel pusingan pertama ditiup pengadil menjadikan kedudukan 3-0.

    Pertemuan semakin menarik dibabak kedua ketika pasukan BSRC B16 merubah rentak perlawanan tetapi Fadhli Dzil Ikram berjaya menambah jaringan pasukan Kasuka FC di minit ke-44 dan selang enam minit selepas itu giliran Amirun Firdaus menjadi penjaring di minit ke-50.

    Sekalipun ketinggalan jaringan, skuad muda BSRC B16 berjaya memperoleh jaringan semangat menerusi  Farish Ar Rayyan di minit ke-59 dan  Danish Aqasya Khoo  menjaringkan gol sagu hati di minit akhir perlawanan menjadikan kedudukan 4-2.

    Sementara itu, pasukan Sport School B16 pula berpesta jaringan selepas membelasah pasukan Arabic School B16 dengan jaringan 9-0 di Padang FABD, Berakas.

    Pasukan didikan Pengiran Serfuddin itu mula mengarang seawal minit ke-2 perlawanan, yang mana sentuhan jaringan Muhd Izzat Rosli dan Muhd Shaqeel Qays Wafri  meledakkan dua gol di minit ke 18 dan 54, sementara Ahmad Fadhlin Hafizin menambah jaringan di minit ke-20.

    Pasukan Sport School meneruskan deretan jaringan menerusi Md. Harith Aqil diminit ke-46, Md. Darwishafis Hamzillah (49’), Md. Akmal Amirul Syzlan (61’ dan 77’) dan Md. Arif Syahmi di minit ke-67.

    Cabaran Liga Bola Sepak Remaja HiTune Sport School 2024 yang dianjurkan oleh YAKIN Football League menampilkan 8 buah pasukan muda untuk mengilap kemahiran pemain-pemain bola sepak peringkat remaja.

    Sebahagian dari aksi perlawanan Kasuka FC dan BSRC B16. – GAMBAR SERAHAN YAKIN FOOTBALL LEAGUE.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda