Oleh Syahmi Hassan –
Kasut dengan teknik celup hidro atau hydro dip memberikan sentuhan kreatif dan gaya tersendiri. Projek ini sesuai untuk mereka yang gemar bereksperimen dengan warna serta ingin mencuba teknik mengecat yang baharu.
Prosesnya mudah dilakukan, namun ia mampu menghasilkan rekaan kasut yang unik dan menarik.
PITA PEREKAT KASUT
Tutup bahagian kasut yang tidak mahu dicat menggunakan pita perekat. Pastikan pita perekat dilekatkan kemas dengan menekannya menggunakan kuku.
Jika terdapat logo yang ingin dikekalkan putih, tutupkannya dengan pita perekat dan potong mengikut bentuk logo menggunakan pisau pencukur. Bahagian kotak jari (toe box) juga boleh ditutup dengan cara yang sama. Keluarkan tapak dalam kasut dan lekatkan pita perekat pada bahagian dalam supaya cat tidak masuk. (Gambar 3)
TANGGALKAN TALI DAN ISI BEKAS DENGAN AIR
Tanggalkan tali kasut. Sediakan bekas yang cukup besar untuk merendam kasut sepenuhnya ke dalam air. (Gambar 4)









SEMBUR CAT KE DALAM AIR
Goncang tin cat sembur pada sudut condong dan sembur panjang sekitar 10 saat di tengah bekas, bergantung pada corak yang diingini.
Ulang langkah ini dengan warna lain yang dipilih.
Cat juga boleh disembur di penjuru dan sisi untuk menghasilkan kesan campuran warna.
Teruskan menyembur sehingga permukaan air dilitupi cat sepenuhnya tanpa ruang kosong. (Gambar 5)
MULA RENDAM KASUT
Masukkan kasut ke dalam air dari bahagian jari kaki hingga ke tumit sehingga tenggelam sepenuhnya.
Kacau sedikit air agar cat berkumpul di tepi bekas.
Angkat kasut perlahan-lahan dan letakkan menegak di atas tisu dapur.
Ulang proses sama untuk kasut sebelah lagi.
Biarkan kering semalaman. (Gambar 6)
BUANG PITA PEREKAT
Kupas semua pita perekat daripada kasut dengan perlahan. Proses ini cukup memuaskan kerana hasil corak mula kelihatan jelas. (Gambar 7)
CARA BERSIHKAN
Gunakan kapas atau lidi kapas yang dicelup dalam aseton untuk membersihkan bahagian yang terkena cat tidak diingini.
Jika cat agak degil, kikis perlahan dengan kuku.
Aseton berfungsi melembutkan cat sebelum dikikis. (Gambar 8)
PASANG SEMULA TALI SEPATU
Pasang semula tali kasut dan hasil akhir akan menampilkan rekaan yang unik serta penuh kreativiti.
Kasut ini bukan sahaja menyerlahkan gaya pemakai, malah memberi pengalaman menyeronokkan dalam dunia kraf DIY. (Gambar 9)
Bahan-bahan yang diperlukan:-
• Sepasang kasut
• Cat sembur
• Pita perekat
• Air
• Bekas/baldi besar
• Aseton
• Bebola kapas/lidi kapas
• Pisau pencukur
• Tisu dapur/lampin kain (Gambar 1 & 2)
TIP TAMBAHAN:
• Gunakan sarung tangan bagi mengelakkan cat terkena tangan.
• Pilih kombinasi warna yang kontras untuk kesan lebih menarik.
• Pastikan kasut kering sepenuhnya sebelum digunakan.

