Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Kasut formal lelaki kembali popular

    PARIS – Suatu ketika dulu, kasut loafer, mokasin selalu dipakai lelaki nerd dan kolot, namun kasut formal lain kini semakin diminati berbanding kasut sukan sebagai pilihan pertama untuk lelaki yang mementingkan fesyen.

    Romain Costa, seorang arkitek Paris berusia 32 tahun, mempunyai banyak pilihan ketika dia mempertimbangkan pilihan kasut di apartmennya di Montmartre; sama ada kasut loafer hitam bertapak kukuh, kasut brogue berwarna funky, kasut kulit atau suede, dengan atau tanpa rumbai.

    Dia akhirnya memilih sepasang kasut tiga warna, yang dipadankan dengan seluar jeans longgar dan baju sejuk hitam yang labuh, sebelum menunggang basikalnya dan pergi ke tempat kerja.

    Baginya, kasut sukan adalah apa yang akan dia pakai sebagai pemain papan luncur remaja.

    “Saya suka memakai kasut dewasa. Di tempat kerja, ia meyakinkan pelanggan. Ia membuatkan saya kelihatan lebih serius,” katanya kepada AFP. “Dan ia tahan lebih lama daripada kasut sukan,” tambahnya.

    Pereka kasut Hermes, Pierre Hardy. – AFP
    Gambar fail bertarikh 10 Januari menunjukkan kasut-kasut loafer buatan Weston yang dipamerkan di Limoges, Perancis. – AFP
    Donald Glover memakai sepasang loafer bercorak rumbai untuk Anugerah Globe. – AFP
    Weston menawarkan pembaikan seumur hidup untuk kasut loafernya, berbeza dengan kasut sukan yang selalunya mempunyai jangka hayat yang pendek. – AFP

    Membuak-buak

    Populariti kasut sukan sedekad lalu masih kukuh, namun terdapat tanda-tanda ia semakin berkurangan.

    Data daripada laman web industri, Business of Fashion menunjukkan 45 peratus lelaki Amerika dan British merancang untuk membeli kasut dress pada 2023, berbanding kira-kira satu pertiga yang memilih kasut sukan.

    Gaya formal kini dapat dilihat di acara karpet merah dan catwalk yang dipamerkan oleh pengasas trend seperti penyanyi rap, ASAP Rocky dan pelakon-pengarah Amerika Syarikat (AS), Donald Glover.

    Pereka Perancis, Simon Porte Jacquemus, yang terkenal pada masa ini, memakai kasut loafer hitam dan memakaikannya untuk model-model sebelum persembahan terakhirnya pada Disember lalu, walaupun dia mempunyai kolaborasi dengan pengeluar kasut sukan berprofil tinggi, Nike.

    Ada segelintir pihak yang masih bergelut untuk mengatasi konotasi lama.

    “Tidak pernah ada yang memakai loafer di pertunjukan Hermes,” kata Pierre Hardy, yang mengetuai reka bentuk kasut jenama Perancis berkenaan. “Ia benar-benar kasut untuk budak sekolah, yang berhaluan kanan dan konservatif”.

    Ia mungkin tidak memberikan suasana yang sesuai untuk pentas peragaan, tetapi Hermes masih menghasilkan dan menjual kasut loafer, dan Hardy memahami kenapa jualan semakin meningkat.

    “Selepas sekatan perjalanan, orang ramai bosan dengan kese-lesaan”. Kini kami telah dibenarkan untuk keluar dan kami mahukan perkara yang elegan dan bergaya,” katanya.

    Campur dan padan

    Perkara yang sama berlaku di seberang perairan di Britain, di mana kedai serbaneka mewah, Browns “pasti menyedari peralihan daripada gaya kasut sukan kepada kasut yang lebih formal,” menurut pengurus pakaian lelakinya, Thom Scherdel. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...