Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kasut kanan sahaja dicuri?

    PERU, 11 MEI – Tiga pencuri Peru berjaya menjadi tajuk utama berita antarabangsa selepas melakukan salah satu rompakan paling bodoh dalam sejarah 220 kasut dari pelbagai jenama, semuanya untuk kaki kanan.

    Menurut laporan Oddity Central, jenayah lucu itu berlaku pada 30 April di sebuah kedai barangan sukan di Huancayo, tengah Peru.

    Kira-kira jam 3:30 pagi, tiga lelaki berjaya memotong mangga di bahagian belakang kedai dan mencuri tiga peti besar berisi kotak sneaker pelbagai jenama.

    Apa yang tidak disedari pencuri ialah semua kotak kasut yang dicuri hanya mengandungi kasut untuk kaki kanan, kerana pemiliknya telah menyediakan tiga peti untuk kasut berkenaan dipamerkan di pameran barangan sukan tempatan.

    Pihak berkuasa mengesyaki pencuri telah menyembunyikan hasil rompakan mereka, kerana tidak mungkin mereka boleh menjual kasut di pasaran gelap tanpa pasangan kasut masing-masing.

    “Kami telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian, apa yang menarik mengenai kecurian ini ialah hanya kasut kaki kanan telah dicuri,” Eduan Díaz, ketua wilayah polis Junín, memberitahu America Noticias, sambil menambah sudah pastinya pencuri akan dikenal pasti kerana perbuatan mereka dirakam kamera pengawasan di kawasan itu, dan telah meninggalkan kesan mereka di tempat kejadian.

    Walaupun kasut sebelah kiri masih dalam simpanan mereka, pemilik kedai menganggarkan kerugian sekitar AS$13,000, melainkan 220 kasut yang dicuri itu ditemui semula, kerana, sama seperti pencuri, dia tidak boleh menjual kasut itu secara individu.

    Kedai kasut itu baru dibuka beberapa bulan tetapi merupakan salah satu daripada beberapa yang dicuri baru-baru ini. Pada pertengahan April, Polis Negara Peru telah menangkap seorang pencuri yang melarikan enam guni berisi kasut dari sebuah kedai kasut di Ica, sebuah bandar di selatan Peru.

    “Sudah tentu mereka mahu menjualnya pada separuh harga,” kata seorang pengguna Twitter secara berseloroh. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda