Oleh Raz AS
Memakai kasut ketika memancing bukanlah satu kemestian. Pemancing boleh sahaja memancing dengan hanya mengenakan selipar atau berkaki ayam.
Akan tetapi tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan barang-barang lain contohnya jaket keselamatan, kaca mata, topi dan sarung tangan serta kasut juga tidak kurang pentingnya dipakai untuk tujuan keselamatan.
Pada masa kini terdapat banyak jenis kasut yang direka khas digunakan untuk memancing yang tersedia di pasaran, meskipun begitu fungsi utamanya adalah sama iaitu melindungi kaki daripada kecederaan dan cahaya matahari.
Apabila membeli kasut memancing atau untuk tujuan memancing, terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan seperti musim dan di mana kita hendak pakai kasut tersebut, adakah di atas bot, di pantai atau di sepanjang tebing berbatu.
Bergantung dengan keadaan kawasan tempat kita memancing, kasut yang digunakan perlulah sesuai.
Contohnya, kasut jenis ringan untuk di atas bot, kasut jenis lasak sesuai tempat yang dilalui dan pelbagai lagi.
Setelah tujuannya dikenal pasti, carilah kasut yang selesa dipakai, memberikan perlindungan pada kaki, tidak licin dan sama ada kalis air atau cepat kering.
Kasut memancing yang berkualiti mempunyai cushioning yang tahan lasak di luar dan dalamnya.
Ini bertindak untuk mengurangkan tekanan dan stres pada kaki yang seharian berdiri di lapangan pancing.
Selalunya pengilang kasut bot menggunakan beberapa jenis foam cushioning agar kasut yang dihasilkan lebih ringan namun tahan lasak agar ia selesa dipakai meski dalam keadaan yang ekstrem.
Bahagian depan dan tapak kasut perlulah berupaya menyediakan perlindungan pada kaki.
Mata kail, batu tajam, pecahan kaca dan lain-lain objek tajam yang bersepah boleh menukar ekspedisi memancing dengan kejadian yang tidak diingini.
Selain itu tapak kasut perlulah bukan daripada jenis yang licin supaya kita dapat sentiasa berdiri tegak diatas permukaan yang basah dan licin.
Air, lendir ikan dan tanah lumpur boleh menjadikan lantai bot licin. Sama seperti lumut di atas batu atau tanah becak di kawasan tebing sungai.
Sesuaikan keadaan tapak kasut dengan tempat kita berpijak bagi mengelakkan daripada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku seperti terjatuh tergelincir.
Pemancing sentiasa berada dekat dengan air oleh itu keadaan basah kadang-kadang sukar dielakkan.
Kaki atau stoking basah di dalam kasut bukanlah sesuatu yang selesa oleh itu pilih kasut yang kalis air atau cepat kering.
Kasut kalis air lebih sesuai digunakan ketika keadaan sejuk seperti pada waktu malam atau mengikut musim dan cuaca. Bagi cuaca panas kasut yang cepat kering dan membolehkan kaki ‘bernafas’ adalah lebih sesuai.