Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kasut persis kek, roti dan aiskrim

    SUASANA riuh rendah di luar kediamannya yang terletak di tengah bandar Orlando, Florida di Amerika Syarikat (AS)sedikit pun tidak mengganggu tumpuan Chris Campbell.

    Usai memastikan tekstur aising untuk dekorasi ‘kek coklatnya’ sempurna, tangannya pantas memasukkan adunan tersebut ke dalam beg pastri.

    Digunting sedikit hujung beg pastri sebelum menyarung corong aising berbentuk bunga sebagai elemen dekorasi untuk ‘kek’ tersebut. Campbell kemudian mula membentuk hiasan krim coklat muda yang sedikit kontra dengan permukaan asasnya yang berwarna coklat gelap.

    Selesai dihiasi dengan aising, ‘kek’ tersebut kemudian diberi elemen tambahan dengan biskut Oreo bersaiz mini yang sungguh comel. Cantik dan sangat menggiurkan sesiapa sahaja yang memandang, malangnya ia bukanlah untuk dimakan.

    Dekorasi sesempurna proses membuat kek, buatan tangan serta penggunaan alatan dan bahan yang hampir sama, ia sebenarnya adalah identiti produk kasut milik Campbell, Shoe Bakery, yang beroperasi di rumahnya sendiri.

    Terdiri daripada pelbagai varian kasut termasuk tapak rata, kasut baji (wedges), tumit tinggi stileto, tumit tinggi pumps serta but, Shoe Bakery menawarkan lebih 20 rekaan kasut berasaskan bakeri termasuk kek, roti, biskut dan aiskrim.

    Seperti nama kek dan aiskrim popular, rekaan kasutnya seperti Victorian Cake, White & Black Cake, Mint Ice Cream, Sundae Cone, Red Velvet, Cotton Candy dan Chocolate bukanlah nama asing dalam kalangan pencinta gaya yang gemarkan imej unik dan bergaya. Bukan retorik, tarikan kasut jenama ini sememangnya terletak kepada kesempurnaan dekorasi yang saling tak tumpah seperti menu manis kegemaran ramai.

    Campbell berkata, obsesinya terhadap menu berasaskan pencuci mulut telah membawa kepada idea untuk menghasilkan koleksi kasut pertamanya iaitu kasut tumit tinggi bertemakan kek coklat. – Agensi
    Terdiri daripada pelbagai varian kasut termasuk tapak rata, kasut baji (wedges), tumit tinggi stileto, tumit tinggi pumps serta but, Shoe Bakery menawarkan lebih 20 rekaan kasut berasaskan bakeri termasuk kek, roti, biskut dan aiskrim. – Agensi
    Cabaran dalam merealisasikan kasut kek tersebut bukanlah mudah lebih-lebih lagi dalam soal pemilihan bahan untuk elemen utama kek iaitu hiasannya. – Agensi

    “Kasut atau kek? Imej krim coklat yang meleleh di bahagian tumit kasut itu kelihatan benar-benar melazatkan. Bagaikan tidak percaya ia adalah kasut,” komen pemilik akaun Cakedivanumber1 merujuk kepada kasut tumit tinggi Chocolate di laman Instagram.

    “Kasut baji Red Velvet ini terlalu cantik dan membuatkan saya ingin segera membelinya. Namun, sebelum itu, saya perlu ke kedai kek terlebih dulu untuk mendapatkan kek Red Velvet,” seloroh seorang pengguna Facebook, Herrera Key.

    Begitulah betapa hasil kreativiti Shoe Bakery mendapat tempat dalam kalangan industri fesyen masa kini. Mula berada di pasaran sejak tahun 2013, Campbell berkata, obsesinya terhadap menu berasaskan pencuci mulut telah membawa kepada idea untuk menghasilkan koleksi kasut pertamanya iaitu kasut tumit tinggi bertemakan kek coklat.

    Dia yang sebelum itu menjalankan perniagaan kecil-kecilan menghasilkan kasut kulit buatan tangan, cuba mencari idea untuk membawa keunikan kepada pelanggan.

    Adunan

    “Bosan dengan rekaan kasut klise yang boleh didapati di mana sahaja, saya memerah otak untuk menghasilkan satu rekaan signature kasut.

    “Memandangkan saya kebetulan berada di sebuah kafe pada waktu itu sambil menikmati sepotong kek coklat kegemaran, saya terfikir, ‘mengapa tidak saya gabungkan kek ke dalam rekaan kasut?,” kongsi Campbell menceritakan penglibatan awalnya dalam menjenamakan Shoe Bakery.

    Namun, cabaran dalam merealisasikan kasut kek tersebut bukanlah mudah lebih-lebih lagi dalam soal pemilihan bahan untuk elemen utama kek iaitu hiasannya.

    “Memandangkan saya mempunyai pengalaman selama tujuh tahun dalam bidang pembuatan kasut, bahagian saya sememangnya tidak mempunyai masalah dalam menghasilkan rangka, menjahit malah membina tumit kasut.

    “Walaupun mengetahui bahawa imitasi hiasan kek tersebut boleh dilakukan dengan mudah menggunakan tanah liat yang dibakar dan sebagainya, saya enggan melakukannya kerana mahu konsep yang paling hampir dengan proses pembuatan kek,” katanya yang mesra digelar Head Baker dalam kalangan pekerjanya.

    Memilih untuk merahsiakan nisbah sebenar yang digunakan bagi mendapatkan adunan ‘aising’ serta dekorasi permukaan kasut yang paling hampir dan berkualiti, Campbell menjelaskan bahawa material utama yang digunakan ialah sejenis larutan silikon.

    Sementelah butiran kecil yang lain seperti ceri, cip coklat, taburan warna-warni dan sebagainya turut dihasilkan sendiri menggunakan plastik sebagai bahan utama. Berhasrat mahu mencipta kasut bukan sekadar untuk digayakan, tetapi dihargai dari sudut ketinggian hasil seninya, percaturan Campbell ternyata cukup menjadi.

    Eksklusiviti efek realistik mengikut tema berserta kualiti hasil tangan berjaya menarik perhatian bukan sahaja rakyat AS, malah di seluruh dunia termasuk Jerman, Perancis, United Kingdom serta New Zealand. Turut menawarkan perkhidmatan tempahan melalui laman web dan penghantaran ke seluruh dunia, kasut jenama ini laris dijual dengan kehendak pelanggan mula bertambah.

    Bermula dengan kurang 10 pasang kasut tumit tinggi persis kek coklat, Campbell yang mengusahakan perniagaan tersebut bersama isteri, Aesha Campbell, mula melebarkan sayap dengan pelbagai koleksi kek, seterusnya aiskrim dan kini roti serta biskut. Kebanyakan pelanggan memberi respons bahawa imej menawan, unik dan menyerlah Shoe Bakery cukup berbaloi pada harga yang perlu dibayar.

    “Tidak perlu bimbang ia hanya cantik ketika dipamerkan di laman sosial sahaja. Saya sudah membelinya, ia bukan sahaja cantik, malah sangat selesa digayakan sepanjang hari,” kata Rosanna Pansino, warganegara Perancis yang membeli sepasang kasut baji daripada koleksi Strawberry Ice Cream secara online.

    Terbaharu, koleksi rona putih dari Shoe Bakery kini popular dijadikan sebagai kasut istimewa yang digayakan pasangan pengantin di hari bahagia mereka. Sama ada koleksi Vanila Ice Cream, Victorian mahupun White Fondant Cake, kenyataan bahawa kasut bertema yang kebiasaannya dianggap hanya sesuai digayakan sewaktu santai, kini sudah menjadi pilihan pada majlis perkahwinan. Selain kasut, jenama ini kini turut menawarkan seleksi beg bertema bakeri dan aiskrim termasuk koleksi Unicorn Cake yang sangat comel. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda