TIANJIN – Dong Jianshe masih ingat sewaktu zaman kanak-kanaknya apabila melihat bapanya seringkali membeli kasut bersaiz kecil yang berstruktur runcing di bahagian depan untuk diberikan kepada neneknya.
“Ia adalah kasut yang bersaiz kecil di mana diperbuat daripada material kain dan memiliki tapak yang diperbuat daripada kulit,” jelas Dong, 57.
Sepuluh tahun lalu, Dong mula memegang jawatan selaku Pengarah Urusan di Laomeihua, sebuah kedai pembuatan kasut yang beroperasi lebih daripada satu abad dan tertua di utara China, Perbandaran Tianjin yang mencipta koleksi kasut yang sangat istimewa.
Laomeihua memang cukup terkenal sebagai sebuah kedai yang menghasilkan rekaan kasut tradisi terutama untuk wanita dari generasi nenek Dong di mana mereka telah dipaksa untuk mengamalkan tradisi mengikat kaki mereka sedari kecil lagi.
Tradisi itu dilakukan bagi tujuan untuk menjadikan kaki wanita China pada zaman dahulu kekal kecil yang dikenali sebagai “lotus emas bersaiz tiga inci’ yang mana ia dianggap cantik dan melambangkan wanita yang sangat patuh untuk mengamalkan tradisi feudal itu.

Kedai itu telah dibuka oleh Pang Henian pada tahun 1911 sewaktu kerajaan Dinasti Qing (1644-1911) telah digulingkan sekali gus melambangkan penghujung bagi era pemerintahan feudal selama 2,000 tahun.
Selepas era tersebut berlalu, ramai golongan wanita yang berhenti daripada meneruskan amalan tradisi tersebut dan mendapati bahawa agak sukar untuk membeli kasut yang bersesuaian dengan kaki mereka. Justeru, Leomeihua telah mengatur langkah untuk mengambil peluang tersebut untuk memenuhi keperluan para wanita.
Sementara rekaan kasut bagi wanita yang pernah mengamalkan tradisi tersebut di China semakin berkurangan, Laomeihua mula mengeluarkan kasut buatan tangan yang disasarkan kepada setiap pengguna.
Rata-rata, rangkaian kasut yang ditawarkan di kedai ini cukup popular dalam kalangan golongan wanita yang berusia dan warga emas berikutan daripada rasa keselesaan ketika memakainya dan gaya tradisi yang masih dikekalkan.
Kini, jenama tersebut masih meneruskan pengeluaran produknya dengan menggunakan empat teknik pembuatan kasut tradisional yang telah diiktiraf sebagai warisan kebudayaan yang sangat berharga di China.
“Salah satu gaya tradisi adalah kasut Hangyuan, yang menggunakan teknik dan tekstur yang tertentu,” jelas Li Lihe, Ketua Seni Rekaan dalam teknik pembuatan kasut tradisi.
Kasut Hangyuan menggunakan material terdiri daripada bulu tulen di bahagian atas dan dilekatkan bersama dengan kulit kambing di bahagian tepinya.
Manakala bahagian tapaknya pula dikenali sebagai tapak yang memiliki ribuan lapisan di mana hakikatnya ia terdiri daripada 36 lapisan kapas nipis yang dijahit bersama dengan benang linen yang padat.
“Seni pembuatan kasut ini hanya boleh diajarkan secara lisan dan mengarahkan secara visual,” jelas Dong.
Seiring dengan peranan dan hak wanita yang telah menjalani transformasi di sepanjang abad, begitu juga dengan produk yang ditawarkan oleh Leomeihua.


Menyedari akan saingan daripada jenama kasut antarabangsa, Dong menjelaskan bahawa kedai tersebut harus memperkenalkan rekaan baru seiring dengan kemajuan teknologi seperti menerapkan ciptaan kasut dengan fungsi khas seperti kalis air dan lebih bertahan lama.
Malah kedai ini juga telah mereka tapak bahagian kasut beralas dengan kusyen sebagaimana dengan perincian yang dilengkapi pada kasut sukan di mana ia cukup digemari oleh golongan muda.
Dalam mengekalkan rekaan tradisi, kedai tersebut juga telah memperkenalkan pelbagai gaya terbaru sebagai strategi untuk mengekalkan kedai tersebut agar terus dapat beroperasi dan ternyata telah berjaya untuk memperkembangkan kadar pertumbuhan tahunan di antara lima sehingga 15 peratus sejak tahun 2008.
Sementara pada tahun 2016, lebih sejuta pasang kasut telah dijual melalui jualan secara langsung dan online.
Mengimbas kembali sewaktu sambutan Hari Ibu yang telah diraikan pada Ahad lalu, kelihatan ramai pelanggan yang berpusu-pusu menuju ke Laomeihua dan membeli kasut rekaan tradisi untuk dijadikan sebagai hadiah istimewa untuk diberikan kepada ibu dan nenek.
“Hari Ibu merupakan waktu yang sibuk bagi kami. Jumlah keuntungan jualan pada minggu Hari Ibu pada tahun lalu adalah tiga kali ganda lebih menguntungkan berbanding pada minggu biasa,” jelas salah seorang kakitangan kedai.
“Sewaktu ibu saya masih ada, saya sering memberikan beliau kasut sebagai hadiah sempena sambutan Hari Ibu sebagaimana yang di lakukan oleh ayah saya kepada nenek,” jelas Dong.
“Ia bukan hanya sekadar sepasang kasut namun ia juga adalah sebagai satu lambang untuk menzahirkan rasa sayang terhadap individu yang dicintai,” tambah Dong. – Xinhua