Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Katak puru ‘raksasa’ ditemui

    SYDNEY, 20 JAN – Renjer Australia telah membunuh seekor katak puru ‘raksasa’ invasif yang ditemui di hutan taman pantai – spesimen coklat berkutil sepanjang lengan manusia dan seberat 2.7 kilogram.

    Kodok (gambar-AFP) itu dikesan selepas seekor ular melintas jalan memaksa pekerja hidupan liar berhenti ketika mereka memandu ke Taman Negara Conway Queensland, menurut kerajaan negeri.

    “Saya mencapai ke bawah dan mengambil katak puru itu dan hampir tidak percaya betapa besar saiz dan beratnya,” kata renjer Kylee Gray, menggambarkan bagaimana dia menemui amfibia itu minggu lalu.

    “Seekor katak puru sebesar itu akan memakan apa sahaja yang boleh muat ke dalam mulutnya, termasuk serangga, reptilia dan mamalia kecil,” katanya.

    Haiwan itu kemudian ditangkap dan dibunuh.

    Katak puru diperkenalkan ke Queensland pada tahun 1935 untuk mengawal kumbang, tetapi sebaliknya, ia mengakibatkan kemusnahan hidupan liar lain.

    Dengan berat 2.7 kilogram, hampir seberat anak damit manusia yang baru lahir, katak itu mungkin telah memecahkan rekod, kata Jabatan Alam Sekitar dan Sains Queensland dalam satu kenyataan.

    Menyifatkan ia sebagai ‘raksasa’, jabatan itu berkata ia boleh dipamerkan di Muzium Queensland.

    Disebabkan saiznya, renjer tersebut percaya ia adalah betina.

    Walaupun umurnya tidak diketahui, “ia mungkin sudah lama hidup,” kata Gray sambil menjelaskan bahawa amfibia boleh hidup selama 15 tahun di alam liar.

    Katak puru betina boleh menghasilkan sehingga 30,000 telur dalam satu musim dan haiwan itu sangat beracun, menyebabkan kepupusan beberapa jenis pemangsanya. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda