LOS ANGELES, 5 MAC – Catherine, Puteri Wales dari Britain, dilihat di khalayak ramai kelmarin buat pertama kali sejak beliau menjalani pembedahan perut pada pertengahan Januari, menurut gambar yang diterbitkan oleh media Amerika Syarikat (AS), TMZ.
Puteri berusia 42 tahun itu, yang suaminya pewaris takhta Britain, Putera William, sedang pulih terutamanya di kediaman mereka di Windsor, barat London, sejak meninggalkan hospital pada 29 Januari.
Gambar yang diterbitkan oleh TMZ menunjukkan Kate memakai cermin mata hitam semasa dibawa dalam kereta, dengan laman berita selebriti mengatakan gambar itu diambil kelmarin berhampiran Istana Windsor.
Saluran media United Kingdom (UK) termasuk Daily Mail dan The Sun telah memilih untuk tidak menyiarkan gambar tersebut.
“Kami tidak menyiarkannya kerana menghormati privasinya sementara beliau pulih daripada pembedahannya dalam jangka masa yang diberikan kepada kami,” kata editor berita diraja ITV, News Chris Ship di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Kemunculan Kate di khalayak umum itu berlaku ketika media sosial dibanjiri dengan teori konspirasi mengenai ketiadaan puteri yang terkenal bekerja keras dan berbakti daripada tumpuan media.
Spekulasi itu timbul walaupun Istana Kensington dengan jelas mengatakan pada masa pembedahannya beliau ‘tidak mungkin kembali menjalankan ugas awam sehingga selepas Easter’.
Ia juga berkata pembedahan itu tidak berkaitan dengan kanser. – AFP


