Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kategori wanita, veteran bakal bertanding dalam kejohanan ragbi

    PETALING JAYA, 22 OKT – Dua kategori baharu iaitu wanita dan veteran bawah 40 tahun akan diperkenalkan pada edisi ke-52 Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah (C10s) 2025, yang berlangsung di Padang Astaka dari 1 hingga 2 November ini.

    Presiden Kelab Ragbi Cobra, Darryll Sinnappa berkata, pengenalan dua kategori baharu itu mencerminkan komitmen pihaknya terhadap keterangkuman, kepelbagaian dan penyertaan sepanjang hayat dalam sukan itu.

    “Sebab utama kami memperkenalkan kategori baharu ini adalah kerana kami melihat minat yang semakin meningkat, khususnya dalam kalangan wanita. Kami percaya kepelbagaian amat penting dalam sukan ragbi.

    “Jadi, kami memutuskan untuk menjadikan C10s sebagai model festival ragbi yang menawarkan kejohanan menyeluruh merangkumi kategori veteran, wanita, lelaki elit dan remaja,” katanya pada sidang media hari ini.

    Sementara itu, Darryll turut menyatakan sebanyak 12 pasukan dari tujuh negara termasuk Malaysia, United Kingdom, Australia, New Zealand, Samoa, Papua New Guinea dan Afrika Selatan akan bersaing dalam kategori pasukan elit lelaki.

    Tambah beliau, selain Kelab Ragbi Cobra, pasukan lain yang mewakili Malaysia ialah KL Tigers, SSTMI Tsunami, MPSJ Knight, Royal Town Warriors dan KRAS Rugby. – Bernama

    Darryll Sinnappa (tengah) bercakap semasa sidang akhbar, di Petaling Jaya pada 22 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda