Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kathmandu antara bandar paling teruk tercemar di dunia

    KATHMANDU, 7 Feb – Ibu negara Nepal, Kathmandu dinamakan antara bandar yang mempunyai kualiti udara paling teruk di dunia.

    Berdasarkan laporan kajian oleh syarikat penyelidikan berpangkalan di Serbia iaitu Numbeo, daripada 209 bandar di dunia, Kathmandu menduduki tempat ketujuh mempunyai kualiti udara paling teruk.

    Menurut ‘Pollution Index 2017’ dikeluarkan Numbeo, kedudukan Kathmandu jauh lebih teruk berbanding Beijing, China dan New Delhi, India.

    Indek pencemaran udara yang direkodkan pada skala 95.73 menjadikan Kathmandu bandar ketiga paling tercemar di Asia Tenggara.

    Selain itu, dalam laporan Numbeo 2017 Kabul, Afghanistan di tempat pertama diikuti Accra, Ghana dan Tetovo, Macedonia.

    Sementara itu, bandar paling kurang tercemar ialah Trondheim di Norway, disusuli Wellington, New Zealand dan Reykjavik, Iceland.

    Menurut pakar kesihatan pencemaran udara merupakan fakor penyumbang utama kepada penyakit kanser dan masalah sistem pernafasan.

    Setiausaha Akademi Sains dan Teknologi Nepal Dr Buddhi Ratna Khadka berkata di Nepal seramai 40,000 orang menderita akibat kanser setiap tahun manakala 10,000 pesakit kanser meninggal dunia setiap tahun akibat pencemaran udara.

    Pengarah Majlis Penyelidikan Kesihatan Nepal Dr Khem Bahadur Karki berkata akan wujud amaran kesihatan awam dalam tempoh dua tiga tahun akan datang jika keadaan pencemaran terus bertambah buruk. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda