Bintang pop Amerika Syarikat (AS) Katy Perry dan Lauren Sanchez, tunang kepada pengasas Amazon Jeff Bezos, dijadual meneroka hingga ke sempadan angkasa dan kembali dengan roket Blue Origin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pelancaran roket New Shepard, yang dikendalikan oleh syarikat angkasa Bezos, dari barat Texas dijadualkan pada 8:30 pagi (1330 GMT), walaupun waktunya mungkin berubah bergantung kepada keadaan cuaca.
Turut menyertai kru awam ialah pengacara rancangan televisyen pagi AS, Gayle King, jurutera aeroangkasa, Aisha Bowe, aktivis dan saintis, Amanda Nguyen dan usahawan, Kerianne Flynn.
Menurut Blue Orgin, ini merupakan kali pertama sebuah roket akan membawa hanya wanita sahaja di dalamnya, sejak penerbangan solo yang membawa angkasawan Rusia, Valentina Tereshkova pada 1963.
Penerbangan suborbital itu dijangka mengambil masa lebih sedikit daripada 10 minit dan mencapai ketinggian 100 kilometer, membawa enam penumpang itu tepat di atas Garisan Karman, sempadan tidak kelihatan antara atmosfera Bumi dan angkasa.
Sebagai perbandingan, Stesen Angkasa Antarabangsa mengorbit kira-kira 400 kilometer di atas Bumi.
Kru Blue Origin akan dapat membuka sebentar tali pinggang keledar dan terapung tanpa berat sebelum kembali ke padang pasir Texas melalui pendaratan bantuan payung terjun.
Roket New Shepard dikendalikan sepenuhnya secara automatik dan tiada juruterbang dalam penerbangan itu.
Blue Origin menawarkan perjalanan singkat untuk pelancong angkasa sejak 2021. Syarikat itu berjaya menyelesaikan 10 misi seumpamanya dengan membawa 52 penumpang hingga ke hujung angkasa.
Bezos sendiri berada di dalam penerbangan kru sulung dan syarikat itu meraih perhatian kerana membawa selebriti, walaupun hanya sebentar ke angkasa lepas. Pelakon legenda Star Trek, William Shatner menaiki penerbangan pada 2021. – Bernama

– Awani