DEIR EL-BALAH, WILAYAH PALESTIN – Amira al-Taweel mengunjungi farmasi-farmasi di utara Gaza untuk mendapatkan susu bagi anaknya, namun gagal menemui satu botol pun.
“Youssef memerlukan rawatan dan susu, tetapi tidak ada yang tersedia di Gaza,” kata ibu berusia 33 tahun itu kepada AFP di hospital Al-Aqsa Martyrs di tengah Gaza di mana
anaknya dirawat kerana mengalami kekurangan zat makanan.
“Saya memberinya makan, tetapi tiada susu kerana ia tidak tersedia.
“Saya memberinya makan gandum (tepung) yang menyebabkannya kembung,” katanya, sementara Youssef berbaring di atas katil sempit, badannya yang lemah menerima ubat yang diperlukan melalui tiub intravena di kakinya.
Pejabat media kerajaan Hamas berkata bahawa sekurang-kurangnya 32 orang, kebanyakannya kanak-kanak, telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu.
Pada Sabtu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata bahawa lebih empat daripada lima orang kanak-kanak tidak makan sepanjang hari sekurang-kurangnya sekali dalam 72 jam.
“Kanak-kanak sedang alami kebuluran,” kata jurucakap WHO, Margaret Harris dalam satu kenyataan.
Peningkatan pemakanan tak seimbang dalam kalangan kanak-kanak Gaza sebahagian besarnya disebabkan bantuan kemanusiaan yang memasuki wilayah Palestin tidak sampai ke destinasi yang dimaksudkan, kata agensi-agensi bantuan.
Sejak pertengahan Januari, agensi kemanusiaan PBB, OCHA telah menyaring lebih 93,400 orang kanak-kanak bawah lima tahun di Gaza untuk pemakanan tak seimbang, termasuk 7,280 yang didapati kekurangan zat makanan akut.
Malnutrisi terutamanya berleluasa di utara Gaza, yang menerima sedikit bantuan pada bulan-bulan awal perang.
Hanya dalam beberapa minggu kebelakangan ini banyak bantuan makanan telah diubah haluan melalui lintasan baharu selepas agensi-agensi bantuan memberi amaran tentang kebuluran yang akan berlaku.
Tentera Israel berkata pada Ahad lalu bahawa sejumlah 1,858 trak bantuan telah diperiksa dan dihantar ke Gaza minggu ini melalui persimpangan Kerem Shalom dan Erez Barat, termasuk 764 dari Mesir.
Di hospital Al-Aqsa Martyrs, ibu-ibu bimbang mengenai anak-anak mereka yang kekurangan zat makanan.
Selepas Youssef dan seorang lagi anak damit lelaki, Saif, dimasukkan ke hospital itu, ibu mereka duduk di sebelah mereka, bimbang tentang berapa lama mereka boleh bertahan dengan makanan yang disediakan oleh hospital.
“Kami bergantung kepada bantuan yang datang ke sini dan diberikan kepada anak-anak,” kata Noha al-Khaldi, ibu kepada Saif, yang kulitnya meregang pada tulang yang terjojol.
“Sepanjang malam dia menderita … Dia sepatutnya menjalani pembedahan, tetapi ia ditangguhkan.”
Hazem Mostafa, pakar kanak-kanak di hospital itu, menyalahkan penutupan lintasan Rafah di selatan atas keadaan yang semakin teruk.
Lintasan itu adalah saluran utama untuk bantuan ke Gaza dari negara jiran Mesir, tetapi tentera Israel merampas kawalan pada 7 Mei.
Sejak itu, tiada bantuan telah memasuki wilayah itu melalui lintasan tersebut, dan tiada pesakit yang sakit atau cedera dapat pergi ke Mesir untuk mendapatkan rawatan.
Kes-kes kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di Rafah juga muncul sejak beberapa hari lalu, dengan beberapa orang anak damit dirawat di pusat-pusat penjagaan kesihatan, lapor wartawan AFP.
“Pendudukan (Israel) telah menghalang kemasukan makanan, terutamanya susu, untuk kanak-kanak, yang telah membawa kepada kelemahan serius dalam badan, pertumbuhan yang sangat lemah dan jangkitan oleh pelbagai penyakit,” kata Dr Mostafa kepada AFP ketika dia mengkaji X-ray pesakit di pejabatnya.
“Kami menuntut bekalan susu yang banyak supaya ibu-ibu dapat memberi makan kepada anak-anak mereka untuk memastikan mereka sihat,” katanya. – AFP