Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Pameran Urusan Rumahtangga 2025 sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 Tahun bagi Daerah Brunei dan Muara telah berlangsung di Dewan Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Berkenan berangkat menyempurnakan perasmian pameran ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah.
Turut berangkat sama ke majlis berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.
Pada majlis itu, Yang Dipertua Persatuan Pertiwi Brunei, Datin Hajah Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yussof dalam sembah alu-aluannya menyembahkan Pameran Urusan Rumahtangga 2025 melibatkan penyertaan semua peringkat masyarakat dalam Bahagian Pameran & Demo, beberapa sektor swasta, badan-badan NGO, pihak perseorangan termasuk golongan belia, warga emas hingga ke peringkat akar umbi melalui penyertaan biro wanita majlis perundingan mukim dan kampung.
Pameran pada tahun ini memberi keutamaan kepada penyertaan peserta tempatan di mana penyertaan semua lapisan masyarakat tempatan dalam pameran berkenaan terbit daripada manifestasi kerjasama, komitmen serta persefahaman yang wujud dalam kalangan kaum wanita amnya, ahli-ahli jawatankuasa pameran khususnya, agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam sama-sama memeriahkan suasana Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-79 bagi Daerah Brunei dan Muara pada tahun ini.



Datin Hajah Siti Hajar turut menyembahkan bahawa tanggungjawab kaum wanita pada alaf ini perlu bijak mengurus rumah tangga supaya boleh bersaing seiring dengan kemajuan global.
“Keadaan global yang makin mencabar terutama sekali dalam tugas seharian menjaga dan mendidik anak-anak memerlukan kaum ibu supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa agar dapat menangani pelbagai masalah, keselamatan dan kesihatan keluarga, pakaian yang bersesuaian dan pengurusan rumah tangga dengan bijak supaya dapat melahirkan satu institusi keluarga yang bahagia, berilmu dan beriman.”
Beliau menyembahkan lagi pameran itu diharap akan dapat membantu meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kaum ibu terhadap permasalahan sosial yang perlu dihindari serta cara-cara menanganinya.
Pameran Urusan Rumahtangga 2025 itu dianjurkan Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 Tahun bagi Daerah Brunei dan Muara dan dikelolakan Persatuan Pertiwi Brunei sebagai salah satu acara perayaan.
Pameran tersebut menampilkan pelbagai produk hasil masakan, kraf tangan, pakaian serta peralatan rumah dan dapur. Ia mempamerkan pelbagai kegiatan yang boleh diterokai oleh kaum wanita untuk dijadikan hobi dan seterusnya sumber menambah pendapatan keluarga sambil mengurus keluarga di rumah.
Selain itu, ia juga dihasratkan untuk menarik minat kaum wanita iaitu kaum ibu atau belia, untuk turut bergiat dalam pelbagai bidang seperti masakan, kraf tangan, penghasilan produk daripada sumber alam yang dapat dikembang majukan dari hanya sebagai hobi sehingga mencapai peringkat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komersial yang mampu berdaya saing.

