Monday, November 25, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kaunseling di sekolah

    Oleh Cikgu Roya –

    Setiap sekolah menengah dan maktab kerajaan di negara ini mempunyai kaunselor sepenuh masa yang memberikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada setiap pelajar dan penuntut. Bagi sekolah rendah kerajaan pula ada guru bimbingan. Kaunselor sekolah yang dilantik adalah berkelayakan, terlatih dan bertauliah untuk menjalankan sesi-sesi kaunseling bersama klien. Begitu juga dalam mengendalikan program dan aktiviti berkaitan bimbingan dan kaunseling di sekolah-sekolah menengah dan maktab. Ianya adalah di bawah seliaan Unit Kaunseling, Bahagian Kaunseling Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.

    Tugas utama kaunselor di sekolah adalah untuk memberikan perkhidmatan menolong iaitu kaunseling dan bimbingan sama ada secara individu mahupun secara kelompok dalam suasana yang selamat, terapeutik, berstruktur dan profesional. Selain daripada itu perkhidmatan kaunseling dan bimbingan di sekolah juga merancang, menyusun serta melaksanakan dan mengawal selia pelbagai program dan aktiviti. Program dan aktiviti adalah bagi membantu setiap penuntut dan pelajar khasnya dan pihak sekolah serta maktab amnya dalam meningkatkan prestasi akademik, membangun personaliti yang positif dan dinamik serta memberikan pendidikan kesedaran isu-isu sosial.

    Kaunselor sekolah juga bertanggung jawab dalam memberikan bengkel, kursus dan ceramah motivasi kepada pelajar, guru-guru dan ibu bapa. Kaunselor menjadi pakar rujuk bagi pelajar, guru-guru dan ibu bapa bagi yang menghadapi masalah atau krisis. Demi melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan lebih efisien, kaunselor sekolah juga bertindak sebagai pegawai seranta dalam membina hubungan baik dengan pelajar, guru-guru, ibu bapa, kakitangan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni sekolah, masyarakat luar dan agensi yang berkepentingan.

    Antara program bimbingan akademik dirancang dan dilaksanakan adalah seperti taklimat dan bengkel pengurusan masa, teknik mencatat nota dan kemahiran-kemahiran belajar cemerlang dan efektif.

    Selain itu diadakan juga ceramah-ceramah motivasi, perkongsian inspirasi dari berbagai-bagai nara sumber seperti daripada alumni sekolah yang cemerlang di berbagai-bagai peringkat, PIBG sekolah dan daripada pakar-pakar motivasi yang berkelayakan. Untuk memahami dengan lebih jelas lagi cara atau gaya belajar yang ideal bagi setiap pelajar, ujian personaliti seperti VAK dan VARK diberikan kepada pelajar berdasarkan kepada kecenderungan penggunaan deria mereka.

    Bimbingan dan kaunseling bukan sekadar memberikan ceramah motivasi tetapi juga untuk membuka mata dan minda pelajar. – Freepik

    Pelajar juga didedahkan kepada teknik mengendalikan stres belajar secara berkesan dan latihan-latihan untuk fokus dalam belajar dalam kelas dan belajar di rumah. Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekolah bekerjasama rapat dengan semua guru mata pelajaran dan pihak pentadbiran sekolah dalam membantu meningkatkan motivasi belajar dan kemajuan akademik pelajar. Ibu bapa disarankan untuk berjumpa dan berbincang dengan kaunselor sekolah bagi sama-sama membantu anak-anak dalam meningkatkan prestasi pelajaran dan bakat mereka.

    Untuk menjadi individu yang berguna pada masa hadapan perkembangan personaliti pelajar juga penting selain daripada pencapaian akademik. Beberapa program yang dijalankan untuk membentuk personaliti pelajar yang berketerampilan, dinamik dan relevan mengikut keperluan mahupun cabaran semasa, antaranya adalah dengan memberikan kursus asas dan lanjutan Pembimbing Rakan Sebaya dan Program G.I.N.I.S.

    Pelajar yang memiliki personaliti yang mantap akan menjadi kebanggaan ibu bapa, mengharumkan nama sekolah dan menjadi aset negara pada masa hadapan.

    Dalam menempuh berbagai-bagai cabaran era masa kini, pendidikan mengenai kesedaran isu sosial juga diberikan keutamaan kepada semua pelajar sekolah.

    Program-program ceramah berbentuk kesedaran dan pendidikan dijalankan dengan kerjasama dari berbagai agensi penguat kuasa dan berkanun dengan menjemput penceramah dari agensi berkenaan ke sekolah. Antara program yang dijalankan adalah seperti program bahaya merokok dan vape, program kesedaran anti buli, program kesihatan mental pelajar, program kesedaran keselamatan siber dan program-program lawatan ke tempat atau agensi berkepentingan.

    Tugas meningkatkan motivasi, memberikan bimbingan dan kesedaran kepada pelajar adalah suatu tugas yang digalas dan ditatang dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab untuk melihat masa depan negara sentiasa maju, aman dan damai selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan dan wawasan negara 2035 iaitu rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    Bagi mencapai hasrat Negara Brunei Darussalam untuk menjadi sebuah negara yang maju, ianya bergantung kepada asetnya yang paling berharga iaitu rakyat negara. Sumber tenaga manusia di negara ini hendaklah mampu membekalkan negara di samping berpegang kepada nilai-nilai Melayu Islam Beraja.

    Menurut kamus dewan edisi keempat bimbingan adalah perbuatan membimbing yang merujuk kepada tindakan memberi petunjuk dan nasihat kepada individu. Ia melibatkan proses membimbing, memberi maklumat, mengawasi atau mengarahkan individu untuk melakukan tindakan tertentu. Ia dijalankan oleh seseorang individu tertentu yang mempunyai kepakaran dalam bidang mereka kepada individu lain.

    Kaunseling pula adalah proses perhubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi. Sesi kaunseling hanya boleh dijalankan oleh kaunselor profesional yang bertauliah untuk membantu klien ke arah perkembangan dan penyesuaian peribadi yang baik dan menyeluruh. Sesi kaunseling juga bertujuan untuk membincangkan isu-isu berkaitan peribadi atau sosio-psikologi yang melibatkan kecelaruan emosi atau mental yang tidak stabil.

    Kaunselor mendengar masalah klien dengan empati, menggunakan kemahiran-kemahiran kaunseling khusus yang dipelajari serta terikat dengan etika kerahsiaan. Kaunseling juga membantu klien mengenal pasti punca utama masalah yang dihadapi dan membantu klien mendapat celik akal agar klien dapat menghadapi isu yang sama kemudian hari sekiranya berlaku lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda