Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Persidangan Kaunseling Kebangsaan 2022 anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Pendidikan dengan Persatuan Kaunseling Brunei Darussalam (PERKAB) dengan tema, Vaksin Ketuhanan Mendepani Ketidaktentuan diteruskan lagi pada hari ini.
Pada sesi pagi persidangan, dua ucaptama telah disampaikan dan yang pertama adalah oleh ahli Lembaga Kaunselor Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Profesor Emeritus Dr Amir bin Awang.
Dalam ucaptama yang bertajuk Vaksin Ketuhanan Mendepani Ketidaktentuan: Tazkiyah An-Nafs, beliau memberikan perbezaan antara kaunseling barat dan an-nafs sambil menambah bahawa sebahagian an-nafs juga adalah vaksin ketuhanan.
Seterusnya, beliau menerangkan perkara penting yang perlu ada pada seorang Muslim dalam menghadapi ketidaktentuan adalah tawakal dan kaunseling yang dilaksanakan menurut perspektif Islam dan elemen penyucian jiwa boleh dijadikan elemen tambahan dalam pendekatan vaksin ketuhanan. Dengan itu, ia berbeza dengan kaunseling barat selain turut merangkumi tiga domain iaitu jasad, akal, qalb, nafs, roh dan emosi. Beliau juga mengongsikan pendekatan sedemikian lebih bersifat abstrak dan sentiasa berkaitan dengan niat yang dilaksanakan dengan ikhlas dan khusyuk menggunakan kaedah antaranya beristighfar dan berzikir yakin dengan janji Allah SWT.
Acara tersebut diteruskan lagi dengan ucaptama kedua yang disampaikan oleh Presiden PERKAB, Mejar (B) Rusli bin Bujang. Beliau membentangkan mengenai Strategi Peningkatan Ketakwaan dalam Mewujudkan Kawalan Dalaman Diri. Beliau turut mengongsikan beberapa strategi dalam meningkatkan ketakwaan dan dengan konsep tersebut juga dapat mengawal hati mereka.

Dr Gamal Abdul Nasir Zakaria dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) selaku pembentang pertama membentangkan tajuk Menangani Kesihatan Mental dalam Kalangan Murid Pasca Pandemik COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, yang menyentuh mengenai kehidupan manusia yang berubah dari segi ekonomi, sosial, keagamaan, komunikasi dan pendidikan.
Ini menurutnya mempengaruhi psikologi dan kesihatan mental murid dan boleh dilihat daripada sikap murid yang merasa bosan, kurang berminat dan motivasi yang rendah dalam mengikuti pembelajaran bahkan sehingga stres dan depresi.
Pembentang kedua dengan tajuk Perkhidmatan Pendidikan Kaunseling dalam Talian Di Negara Brunei Darussalam, Satu Kajian Tinjauan yang disampaikan oleh Dr Kharhan bin Haji Jait dan Awang Ahmad Humaizi bin Haji Samihon dari Fakulti Pendidikan KUPU SB telah mengemukakan beberapa strategi bagi meningkatkan perkhidmatan kaunseling pendidikan secara dalam talian dan melalui tinjauan menunjukkan ia lebih mesra pengguna, merangkumi kaunseling psikososial, kaunseling peribadi, kaunseling akademik, kaunseling kelompok, psikoterapi dan klinikal.
Manakala di Dewan Taklim, dua pembentangan kertas kerja dibuat berdasarkan kepada tema iaitu Teknologi, Pengukuran dan Penilaian dalam Kaunseling dan Etika, Intervensi, Kemahiran dan Penyeliaan dalam Kaunseling Berasaskan Islam.
Membentang mengenai Effect of Text Messaging on Interpersonal Communication Skills among Sixth Form Students in Brunei Darussalam adalah Dayang Nurhaziqah binti Haji Taif dari Institut Pendidikan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SHBIE), UBD.
Awang Mohd Redzuan bin Haji Rusli, juga dari SHBIE, UBD selaku pembentang kedua, membentangkan mengenai The Application of Art Theraphy in Councelling. Menurut pembentang, kajian menunjukkan dengan menggunakan terapi seni dalam kaunseling memberikan impak positif dari sudut kognitif dan kelakuan seseorang individu.
Sementara itu, pembentang ketiga dengan tajuk Kenali Diri Al-Nafs Terapi Awal dalam Dunia Kaunseling disampaikan oleh Dr Hajah Masuriyati binti Haji Yahya dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UNISSA. Di mana menurutnya, pelbagai cabaran, rintangan dan halangan dihadapi oleh seseorang individu boleh diselesaikan dengan menggunakan pendekatan paling asas yang diaplikasikan oleh kebanyakan tokoh dan ulama tasawuf dalam kenali diri an-nafs dengan tujuan sebagai terapi awal dalam merungkai permasalahan.