Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Perkhidmatan membaharui lesen kenderaan (road tax) atau lesen memandu boleh dipohonkan melalui perkhidmatan kaunter-kaunter JPD dan pejabat-pejabat pos yang dikenal pasti iaitu Pusat Memproses Mel (MPC), Seri Kompleks, Gadong, Sengkurong, Muara, Tutong, Seria dan Mumong.
Di samping itu, orang ramai juga masih boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui portal www.gov.bn, aplikasi TransportBN atau Talian Darussalam 123.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Haji Rozaly bin Haji Saidon semasa sidang media yang berlangsung di Kementerian Perhubungan dan Infokomunikasi, hari ini.
Menyentuh mengenai lesen digital, beliau berkata bahawa ia adalah digital twin bagi lesen kenderaan dan lesen memandu. Oleh itu, pelekat lesen kenderaan dan kad lesen memandu masih sah diguna pakai, begitu juga lesen dalam bentuk digital.
Dalam pada itu, pelekat lesen kenderaan boleh dilekatkan pada cermin kenderaan atau disimpan sahaja di dalam kenderaan.

Sementara itu, pemohon yang hendak membaharui lesen kenderaan tidak diperlukan untuk membawa bersama buku atau kad pendaftaran kenderaan semasa memohon.
Beliau turut menyatakan bahawa semua permohonan yang dibuat pada 8 Oktober sehingga 21 Disember sama ada melalui perkhidmatan kaunter-kaunter JPD dan kaunter-kaunter pejabat pos yang dikenal pasti atau melalui permohonan dalam talian melalui portal www.gov.bn, aplikasi TransportBN, Talian Darussalam 123 atau pemohon yang sudah menerima SMS atau belum menerima SMS boleh mendapatkan pelekat lesen kenderaan atau kad lesen memandu melalui kaunter-kaunter.
Bagi cawangan-cawangan JPD, pengambilan pelekat atau kad adalah bila-bila masa mengikut waktu operasi perkhidmatan kaunter yang telah ditetapkan manakala itu, bagi cawangan pejabat-pejabat pos iaitu MPC, Seri Kompleks, Gadong, Sengkurong, Muara, Tutong, Seria dan Mumong yang akan bermula pada 27 Disember depan adalah mengikut waktu operasi perkhidmatan kaunter pejabat pos yang telah ditetapkan.
Untuk makluman orang ramai, waktu operasi perkhidmatan kaunter di cawangan Ibu Pejabat JPD, Beribi, Gadong adalah bermula 8 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:30 petang hingga 3 petang bagi semua jenis perkhidmatan JPD.
Walau bagaimanapun, perkhidmatan bagi membaharui atau mencetak lesen kenderaan dan lesen memandu juga masih boleh didapati pada waktu tengah hari dari pukul 11:30 pagi hingga 1:30 petang.
Sementara itu, perkhidmatan kaunter di cawangan Kompleks Litar Memandu, Kuala Belait, Temburong dan Tutong bermula pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:30 petang hingga 3 petang bagi kesemua jenis perkhidmatan JPD.