KUCHING, 28 APRIL – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini memutuskan untuk membenarkan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) beroperasi semula mulai esok.
Timbalan Ketua Menteri dan Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata urus niaga yang dibenarkan itu adalah khusus untuk kenderaan perdagangan sahaja.
“JPBN hari ini bersetuju untuk menerima pakai arahan yang telah dikeluarkan oleh ibu pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan pada 27 April iaitu membenarkan JPJ membuka kaunter bermula 29 April,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, JPJ dalam kenyataan menyatakan kenderaan perdagangan itu meliputi barangan, pelancongan dan perkhidmatan awam dan kaunter hanya dibuka dari 8 pagi hingga 1 tengah hari.
“Perkhidmatan kaunter itu tidak melibatkan kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing buat masa ini, bagi mengelakkan berlaku ketidakpatuhan garis panduan yang ditetapkan, iaitu jarakan sosial selain mengelakkan berlaku kekesakan di kaunter,” jelas kenyataan itu.
Dalam perkembangan lain, Uggah berkata pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai esok hingga 30 April. – Bernama