Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kaunter JPP buka Jumaat bermula 1 Mei

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) memaklumkan bahawa kaunter-kaunter perkhidmatannya dilaratkan pada Jumaat bermula 1 Mei.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, JPP turut memaklumkan waktu-waktu perkhidmatan jabatan di sepanjang bulan Ramadan ini. Kesemua cawangan JPP beroperasi pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dibuka dari pukul 8 pagi hingga 12:30 tengah hari dan cawangan Labi pula dibuka pada Selasa sahaja bermula 8 pagi hingga 10 pagi. Sementara itu, waktu perkhidmatan pada Jumaat di Pusat Memproses Mel dan Bungkusan ialah dari pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi, setiap Jumaat manakala bagi Cawangan Tutong dan Cawangan Kuala Belait iaitu pada Jumaat minggu kedua dan keempat dari pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi.

    JPP menyatakan lagi bahawa bagi perkhidmatan membaharui lesen kenderaan dan lesen memandu, orang ramai dinasihatkan untuk membuat tempahan perjanjian awal melalui aplikasi QueUp bagi memudahkan urusan. Dalam hubungan itu, orang ramai juga disarankan untuk membaharui lesen kenderaan dan lesen memandu melalui portal rasmi kerajaan iaitu www.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan dan ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (CSC) di talian 2380481 atau 8711002 (Whatsapp) atau e-mel, cscpost@post.gov.bn.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda