Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan, dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa kesemua perkhidmatan kaunter pembayaran bil air dan gas serta kaunter pemedulian pelanggan bagi semua daerah akan ditutup sementara bermula 3 Mei sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
JKR menyatakan bahawa penutupan sementara berkenaan adalah untuk menaik taraf sistem jabatan berkenaan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan.
Sehubungan itu, para pelanggan yang ingin membuat pembayaran bil air bolehlah dilakukan melalui bank masing-masing secara dalam talian, aplikasi mudah alih, mesin ATM dan CDM yang telah disediakan bagi pemegang-pemegang akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Bank Baiduri dan Bank Standard Chartered (StanChart).
Selain daripada itu, para pelanggan juga boleh membuat pembayaran di kaunter-kaunter pejabat pos dengan membawa bil air.
Pihak JKR ingin meminta maaf atas perkara ini serta berterima kasih atas kefahaman dan kesabaran orang ramai.