Kaunter pengaktifan akaun e-Darussalam dihadkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Bermula 22 Mac lalu, Pusat Kebangsaan E-Kerajaan telah mula menggunakan perkhidmatan Talian Darussalam 123 bagi mengaktifkan akaun e-Darussalam sebagai inisiatif bagi memudahkan orang ramai tanpa perlu berkunjung ke kaunter-kaunter e-Darussalam di jabatan-jabatan kerajaan yang dikhaskan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infoko-munikasi, di sini, hari ini, untuk makluman orang ramai, kaunter-kaunter yang sedang beroperasi pada masa ini akan dihadkan bagi tujuan menggalakkan penyediaan tatacara pengaktifan e-Darussalam yang baharu menggunakan Talian Darussalam 123 secara dalam talian sepenuhnya.

Sehubungan itu, bermula 1 September ini, kaunter pengaktifan akaun e-Darussalam hanya akan dihadkan pembukaannya kepada empat cawangan sahaja iaitu satu cawangan di setiap daerah. Waktu-waktu pembukaan kaunter berkenaan ialah bermula pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:30 petang hingga pukul 3 petang pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

Manakala itu, pada Jumaat, kaunter dibuka dari pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi. Kenyataan menyatakan bahawa bagi Daerah Brunei dan Muara, kaunter pengaktifan ialah Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) di Kampung Mata-Mata Gadong, bagi Daerah Tutong ialah JPD Cawangan Tutong di Jalan Sungai Basong, bagi Daerah Belait ialah JPD Cawangan Belait di Jalan Setia Diraja dan bagi Daerah Temburong ialah JPD Cawangan Temburong di Pekan Bangar.