Oleh Sim Y.H. –
Diabetes ialah penyakit kronik yang menjurus kepada paras gula tinggi dalam darah. Ia sering kali disebabkan oleh ketidakmampuan tubuh badan untuk menghasilkan atau menggunakan insulin dengan efektif.
Gangguan metabolik ini dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan komplikasi yang sangat berbahaya, termasuk penyakit jantung, strok, penyakit buah pinggang, kehilangan penglihatan, amputasi anggota badan dan kematian pramatang.
Di seluruh dunia, satu daripada 10 orang dewasa menghidap penyakit diabetes dan hampir setengah daripadanya masih belum lagi didiagnosis.
Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) telah melaporkan pada 2021, sebanyak 11.1 peratus kes diabetes di Negara Brunei Darussalam adalah daripada golongan dewasa berusia 20 hingga 75 tahun yang mana peratus itu telah melebihi jumlah peratus global iaitu sebanyak 9.1 peratus.
Diabetes masih menjadi penyebab kematian ketiga tertinggi di Negara Brunei Darussalam di mana ia mengingatkan kita tentang betapa besar kesan penyakit itu dan pentingnya untuk kita terus berusaha mengawalnya.





Dr Nurshazwani menyampaikan ucapan alu-aluannya. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
SAMBUTAN HARI DIABETES SEDUNIA
Sambutan Hari Diabetes Sedunia seperti lazimnya pada setiap 14 November, diraikan dan diperingati oleh negara-negara di seluruh dunia termasuk Negara Brunei Darussalam untuk memupuk kesedaran mengenai isu-isu berkaitan penyakit diabetes.
Pada tahun ini, Hari Diabetes Sedunia memberikan penumpuan kepada risiko diabetes dan komplikasinya, pencegahan serta rawatannya, sesuai dengan slogan sambutan 2023, Ketahui Risiko Awda, Ketahui Tindakan Awda.
Semasa sambutan yang diadakan di Ruang Legar, The Mall, Gadong, baru-baru ini, Timbalan Ketua Pusat Endokrin, Jabatan Perubatan Dalaman, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Dr Nurshazwani binti Haji Mat Salleh berkata pada 2021, IDF telah melaporkan kira-kira 537 juta orang dewasa di seluruh dunia menghidap diabetes dan angka itu dijangka akan terus meningkat kepada 643 juta menjelang 2030.
“Sebanyak 6.7 juta kematian akibat diabetes telah dicatat pada 2021. Ini bermakna, di seluruh dunia, seorang pesakit diabetes mengalami kematian setiap lima saat. Kerana itu, diabetes merupakan satu krisis kesihatan global,” kata beliau.
Beliau menambah pencegahan merupakan kunci utama untuk mengawal penyakit diabetes.
Bagi mereka yang mempunyai diabetes, pengawalan diabetes dengan baik adalah penting bagi mengelakkan komplikasi-komplikasi serius yang menjadi penyebab kematian.
“Justeru, saya ingin menekankan kepentingan kesedaran dan pengetahuan mengenai diabetes.
“Mengenai faktor risiko diabetes, seseorang itu akan dapat membuat pemeriksaan dengan lebih kerap, mengambil strategi pencegahan atau mengesan diabetes pada peringkat awal sebelum komplikasi lain terjadi,” tekan Dr Nurshazwani.
PENINGKATAN OBESITI SELARAS PENINGKATAN DIABETES JENIS 2
Menurut Dr Nurshazwani, kadar peningkatan obesiti juga meningkat selaras dengan peningkatan diabetes jenis 2 di Negara Brunei Darussalam.
“Apa yang lebih membimbangkan adalah kadar diabetes juga meningkat dalam kalangan kanak-kanak. Ini juga bermakna kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak juga meningkat.
“Kadar obesiti kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam telah mencecah lebih 40 peratus, iaitu salah satu kadar yang tertinggi di rantau Asia Tenggara.
“Kerana itu, tindakan-tindakan yang bersesuaian adalah sangat diperlukan,” tegasnya.
“Ia boleh bermula dengan penyesuaian gaya hidup sihat di semua peringkat umur, iaitu dengan mengamalkan pemakanan sihat yang seimbang, aktiviti-aktiviti fizikal yang kerap dan pengawalan berat badan.”
Dalam hubungan itu, Sambutan Hari Diabetes 2023 bertujuan meningkatkan kesedaran, mendidik orang ramai supaya mereka mengetahui dan mengenal pasti risiko diabetes serta membuat saringan awal bagi memperkasakan diri mereka menguruskan diabetes dengan lebih baik melalui cara hidup yang sihat.

