Wednesday, November 13, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kawal emosi dan tekanan melalui pendekatan holistik

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Subtema Kesihatan Mental dan Sains turut dibincangkan pada Seminar Majlis Ilmu 2024 di sesi kedua yang berlangsung hari ini di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Kawalan Emosi dan Kesihatan Mental adalah tajuk bagi kertas kerja yang disampaikan oleh Pegawai Psikologi dan Ketua Perkhidmatan Psikologi Klinikal dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Dayang Hani Haryana binti Haji Maidin.

    Beliau telah menyentuh mengenai pendekatan holistik yang mengintegrasikan pelbagai strategi untuk menangani emosi dan kesihatan mental yang komprehensif dalam memupuk kesejahteraan emosi dan meningkatkan kualiti kehidupan secara keseluruhan.

    Manakala Konsultan Psikiatris, Jabatan Psikiatri, Kementerian Kesihatan, Dayangku Dr Raidah Hayati binti Pengiran Haji Mohamed telah menyampaikan kertas kerja bertajuk Kesan Jangka Panjang Tekanan Terhadap Kesihatan Mental dan Cara Menguruskannya. Antara inti pati dalam pembentangan kertas kerja beliau ialah kepentingan untuk menyedari bahawa pengurusan tekanan adalah perjalanan peribadi yang memerlukan pendekatan yang berbeza bagi setiap individu.

    Di samping itu, penilaian diri yang kerap boleh membantu mengenal pasti strategi yang berkesan bagi memupuk daya tahan terhadap tekanan masa depan dengan mengutamakan pengurusan tekanan. Secara keseluruhan, kesejahteraan mental dan kualiti hidup individu dapat ditingkatkan.

    Manakala, Penolong Profesor, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Deeni Rudita bin Idris, pula menyampaikan kertas kerja yang bertajuk Stigma Terhadap Kesihatan dan Penyakit Mental dalam Kalangan Penjaga Tidak Formal bagi Pesakit Psikiatri di Brunei Darussalam.

    Pada seminar di sesi kedua itu, beliau telah membincangkan peranan media sosial dalam meningkatkan akses kepada maklumat, pengetahuan dan tahap kesedaran mengenai kesihatan mental dan penyakit mental.

    Seminar bertemakan Kesihatan Mental dan Sains itu dihadiri oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Ahli panel yang terlibat pada seminar sesi kedua, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN UNISSA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda